Isnin, 10 Januari 2022 | 9:04am
Beribu-ribu orang berarak di Brussels semalam menentang peraturan anti-COVID-19. - Foto AGENSI
Beribu-ribu orang berarak di Brussels semalam menentang peraturan anti-COVID-19. - Foto AGENSI

Ribuan membantah perketat peraturan COVID-19 di Belgium

BRUSSELS: Ribuan penunjuk perasaan berarak di Brussels semalam bagi menentang peraturan anti-COVID-19, ketika kerajaan eropah mempertimbangkan peraturan lebih ketat dalam menghadapi gelombang Omicron.

Namun, tiada siri keganasan yang menjejaskan demonstrasi berlaku di ibu kota Belgium itu seperti sebelum ini, biarpun polis bertindak mengepung sekumpulan kecil mereka yang cuba mendekati ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU).

Ketika perarakan di bandar itu, kira-kira 5,000 peserta yang diiringi polis, melaungkan 'bebas, bebas!' serta mengibarkan sepanduk yang mengecam apa yang mereka panggil sebagai 'diktator vaksin'.

Sebelum perarakan bermula, polis menahan 11 suspek yang didapati membawa bunga api, sementara 30 lagi tangkapan dibuat pada penghujungnya selepas sekumpulan kecil melemparkan objek ke arah pegawai rusuhan, menurut pasukan itu.

Belgium mewajibkan penduduk menunjukkan sijil COVID-19 untuk memasuki bar, restoran dan acara kebudayaan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Frank Vandenbroucke dalam temu bual di televisyen, berkata akan memanggil satu perbahasan di parlimen mengenai peraturan lebih ketat ketika Belgium melihat kes COVID-19 meningkat ekoran Omicron.

"Fikiran orang ramai berubah. Setahun yang lalu, saya menjelaskan vaksinasi wajib bukan idea yang baik, kita perlu meyakinkan orang ramai.

"Sekarang, kami benar-benar mengetahui kita perlu vaksinkan 100 peratus penduduk, yang bukan menjadi idea kami setahun lalu. Kami fikir 70 peratus sudah mencukupi," katanya.

Katanya, ini bukanlah idea yang mungkin mendapat sokongan dalam kalangan penunjuk perasaan, yang membawa bendera pelbagai kumpulan politik, tetapi bersatu menentang langkah mewajibkan vaksin.

"Ia pengurusan krisis tidak masuk akal yang begitu menjejaskan kebebasan dan akan menyerupai sistem di China jika kita membiarkannya berlaku," kata seorang peserta, Danielle.

Perarakan sebelum ini mencetuskan pertempuran dengan polis, yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air, tetapi pada hujung minggu, ia berjalan dengan lebih teratur di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.

Polis rusuhan memasang penghadang kawat berduri di seberang jalan menuju ke bangunan ibu pejabat EU dan menggunakan dron serta dua trak meriam air.

Antara 30 Disember dan 5 Januari lalu, Belgium merekodkan purata 17,513 kes jangkitan baru COVID-19 harian, meningkat 96 peratus pada minggu sebelumnya dan 169 kemasukan ke hospital sehari, meningkat 28 peratus. - AFP

Berita Harian X