Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:11am

Kurangkan dedah diri kepada ancaman virus - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menegaskan peringatan bahawa penularan pantas Omicron didorong oleh gabungan beberapa faktor utama, termasuk ciri varian baharu COVID-19 itu dan peningkatan campur gaul sosial.

Ketua pasukan teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, berkata justeru orang ramai perlu berusaha mengurangkan pendedahan diri terhadap ancaman virus itu dan mengawal perebakannya, berikutan lonjakan angka harian jangkitan kini mencatat sejumlah rekod baharu.

Beliau berkata, antara punca Omicron menular dengan amat cepat ialah mutasinya membolehkan virus itu melekat pada sel manusia dengan lebih mudah.

"Sebab kedua ialah apa yang dipanggil 'kebolosan imun' dan ini bermakna manusia boleh dijangkiti semula, sama ada jika mereka pernah dijangkiti ataupun sudah divaksin.

"Punca lain ialah kita mendapati Omicron mereplikasi dalam saluran pernafasan di bahagian atas. Ia berbeza dengan Delta dan varian lain, termasuk strain sebelum ini yang mereplikasi di saluran pernafasan bahagian bawah, dalam paru-paru," katanya dalam kenyataan dikeluarkan WHO.

Pada masa sama, perebakan meluas virus terbabit turut didorong tindakan orang ramai lebih bercampur gaul kini, menghabiskan sebahagian besar masa di dalam tempat tertutup susulan musim sejuk di hemisfera utara, serta tidak mematuhi langkah pencegahan jangkitan seperti penjarakan fizikal.

Hampir 9.5 juta kes baharu COVID-19 dilaporkan kepada WHO, minggu lalu - satu angka rekod yang meningkat 71 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Apa yang perlu dibimbangkan oleh orang awam di luar sana hanyalah mengurangkan pendedahan diri kepada virus itu.

"Kita mahu orang ramai memahami dan berasa diri mereka berupaya mengawal jangkitan itu," kata Van Kerkhove.

Beliau sekali gus menegaskan, orang ramai juga harus mencegah jangkitan COVID-19 bagi mengelak daripada ditimpa gejala Long Covid. - AFP

Berita Harian X