Khamis, 6 Januari 2022 | 1:31pm
Orang ramai memakai pelitup muka ketika bersiar di Tuileries Gardens di Paris. - Foto REUTERS
Orang ramai memakai pelitup muka ketika bersiar di Tuileries Gardens di Paris. - Foto REUTERS

Perancis catat lebih 300,000 kes harian baharu COVID-19

PARIS: Perancis mencatat rekod kes harian baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam semalam, dengan lebih 332,000 kes jangkitan tambahan direkodkan, menurut angka rasmi terkini.

Ia adalah kali pertama Perancis mencecah 300,000 kes, memecahkan rekod kes harian baharu sebelumnya iaitu 271,686 kes.

Dalam tempoh yang sama, seramai 2,483 orang lagi dimasukkan ke hospital dengan 396 daripadanya ke unit rawatan rapi (ICU).

Beberapa jam selepas Menteri Kesihatan, Olivier Veran memberitahu Parlimen bahawa angka 335,000 tinggal kenangan, pihak berkuasa kesihatan kebangsaan Perancis menerbitkan angka rasmi 332,252 kes harian.

Menteri itu bercakap semasa perbahasan mengenai rancangan kerajaan untuk menggantikan pas kesihatan semasa - yang mengandungi bukti vaksinasi, ujian negatif atau pemulihan baru-baru ini - dengan pas vaksin yang hanya orang yang mendapat vaksin penuh layak.

Veran berkata, seramai 66,000 rakyat di Perancis menerima suntikan COVID-19 pertama mereka semalam, kadar harian yang jarang diperoleh sejak awal Oktober lalu.

"Saya tidak percaya pada kebetulan," kata Veran mengenai jumlah yang tinggi itu, yang datang selepas kempen pro-vaksinasi besar-besaran oleh kerajaan.

Ia juga berikutan kenyataan Presiden Emmanuel Macron yang memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang enggan divaksin.

"Bagi yang tidak divaksin, saya benar-benar mahu marahkan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, jika kadar vaksin mencatatkan lebih 60,000 orang sehari dapat dikekalkan selama 70 atau 75 hari, penduduk Perancis akan dilindungi sepenuhnya daripada pandemik itu.

Kira-kira lima juta orang di Perancis masih belum divaksinasi, dengan 20 peratus daripada mereka dianggap berisiko tinggi daripada COVID-19.

Sehingga kini, pandemik COVID-19 di Perancis mengakibatkan 124,563 kes kematian. - AFP

Berita Harian X