Khamis, 6 Januari 2022 | 8:33am
Seorang warga emas menerima vaksin di Rome. Kerajaan Itali akan mewajibkan rakyatnya berumur 50 tahun ke atas divaksin. - Foto REUTERS
Seorang warga emas menerima vaksin di Rome. Kerajaan Itali akan mewajibkan rakyatnya berumur 50 tahun ke atas divaksin. - Foto REUTERS

Rakyat Itali 50 tahun ke atas wajib divaksin

ROME: Itali menyertai segelintir negara Eropah yang mewajibkan vaksinasi COVID-19 kepada mereka yang berumur 50 tahun ke atas dalam usaha untuk mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan dan kematian.

Langkah itu berkuat kuasa serta-merta dan akan berlangsung sehingga 15 Jun ini.

Negara itu merekodkan lebih daripada 138,000 kematian sejak wabak itu muncul pada Februari 2020, iaitu kedua tertinggi di Eropah selepas Britain.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Mario Draghi sudah mewajibkan vaksinasi kepada guru dan pekerja kesihatan, dan sejak Oktober tahun lalu semua pekerja perlu diberi vaksin atau hendaklah menunjukkan keputusan ujian negatif sebelum boleh memasuki tempat kerja.

Keengganan kepada peraturan itu boleh menyebabkan mereka digantung kerja tanpa gaji, dan bukannya dipecat.

Bagaimanapun tidak dijelaskan apakah bentuk sekatan yang akan dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan itu, berkuat kuasa 15 Februari ini.

Dekri itu diluluskan selepas mesyuarat Kabinet selama dua jam setengah yang menyaksikan pergeseran dalam gabungan pelbagai parti dalam kerajaan Draghi.

"Langkah ini juga bertujuan untuk memastikan hospital kita berfungsi dengan baik dan pada masa yang sama memastikan sekolah dan aktiviti perniagaan terus dibuka," kata Draghi menurut jurucakapnya.

Menteri daripada liga sayap kanan pula mengeluarkan kenyataan yang menjauhkan diri mereka daripada peraturan itu, dengan menyatakan ia dilaksanakan 'tanpa asas saintifik' kerana majoriti mereka yang dimasukkan ke hospital adalah lebih daripada usia 60 tahun.

Ia sebelum ini berjaya melonggarkan draf dekri terdahulu yang mencadangkan bahawa hanya orang yang mempunyai bukti vaksinasi atau jangkitan baru-baru ini boleh memasuki pejabat awam, kedai tidak penting, bank, pejabat pos dan kedai pendandan rambut.

Dekri terakhir memutuskan bahawa tempat itu akan tetap terbuka kepada mereka yang tidak divaksinasi selagi mereka boleh menunjukkan keputusan ujian negatif.

Di tempat lain di Eropah, Austria mengumumkan rancangan untuk mewajibkan vaksinasi bagi mereka yang berumur 14 tahun ke atas mulai bulan hadapan, manakala di Greece akan mengambil langkah sama kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas mulai 16 Januari ini.

Itali dilanda lebih lewat daripada beberapa negara Eropah utara oleh varian Omicron yang sangat menular, tetapi kes meningkat secara berterusan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan tekanan yang semakin meningkat ke atas hospital dan unit rawatan rapi.

Ia menyaksikan purata lebih daripada 150 kematian setiap hari dalam tempoh dua minggu terakhir, dengan 231 kematian semalam dan 259 pada Selasa lalu. Jumlah 189,109 jangkitan baharu semalam adalah yang tertinggi sejak permulaan wabak itu.

Kira-kira 74 peratus rakyat Itali sudah lengkap divaksin manakala hanya enam peratus menerima suntikan tunggal manakala 35 peratus sudah mendapatkan suntikan penggalak. - REUTERS

Berita Harian X