Isnin, 3 Januari 2022 | 10:24pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Omicron lebih berupaya tangkis imuniti berbanding Delta

COPENHAGEN: Kajian di Denmark mendapati COVID-19 varian Omicron lebih berupaya menangkis imuniti individu yang divaksin berbanding Delta, sekali gus menjelaskan kenapa ia merebak dengan lebih pantas.

Ini adalah hasil kajian penyelidik Statistics Denmark, Institut Serum Statens (SSI) dan Universiti Copenhagen, membabitkan hampir 12,000 isi rumah di Denmark pada pertengahan Disember, dalam kalangan warga negara itu yang sudah divaksin.

Hasil penemuannya, saintis mendapati keupayaan jangkitan Omicron adalah 2.7 hingga 3.7 kali ganda lebih tinggi berbanding varian Delta.

Mereka berpendapat, varian itu merebak dengan lebih cepat kerana ia lebih berupaya menangkis imuniti yang diperoleh daripada vaksin.

"Penemuan kami mengesahkan penyebaran pantas Omicron boleh dikaitkan dengan kebolehan menangkis imuniti dan bukannya peningkatan kadar kebolehjangkitan asas," kata penyelidik.

Pada masa sama, menurut penyelidik, kajian juga mendapati individu yang diberi dos penggalak kurang berisiko untuk menyebarkan virus, tanpa mengira apa jenis varian, berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

Sementara itu, Pengarah Teknikal SSI, Tyra Grove Krause, berkata meskipun lebih mudah disebarkan, Omicron hanya menyebabkan gejala jangkitan kurang serius.

"Namun, Omicron masih boleh memberi tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan, walaupun hasil kajian mendapati kesan jangkitannya lebih ringan daripada varian Delta," katanya.

Beliau berkata, risiko kemasukan ke hospital akibat Omicron adalah separuh berbanding Delta, yang mana penemuan itu adalah sama dengan keputusan beberapa hasil kajian lain membabitkan varian berkenaan.

Katanya, data kajian itu menunjukkan kurang lima pesakit menerima rawatan rapi daripada keseluruhan 93 yang dimasukkan ke hospital akibat Omicron pada akhir Disember lalu.

"Mungkin perkembangan ini menunjukkan kita akan keluar daripada wabak ini, di mana gelombang ini adalah yang terakhir," katanya.

Sejak penemuan Omicron pada November lalu, kumpulan saintis berusaha membuat kajian untuk mengetahui sama ada ia menyebabkan jangkitan kurang serius dan sebab varian itu lebih menular daripada Delta yang mendominasi sebelum ini.

Virus dikesan lebih mudah berjangkit disebabkan beberapa faktor, antaranya tempoh ia bertahan di udara, keupayaannya untuk melekat pada sel atau menangkis sistem imun badan.

Sebanyak 78 peratus rakyat Denmark sudah divaksin sepenuhnya manakala hampir 48 peratus daripada mereka menerima dos penggalak.

Kira-kira lapan daripada sepuluh penduduk Denmark menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech. - REUTERS

Berita Harian X