Sabtu, 1 Januari 2022 | 8:17am
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

COVID-19: WHO yakin virus 'dikalahkan' pada tahun ini

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata beliau optimis wabak COVID-19 akan 'dikalahkan' pada tahun ini dengan syarat semua negara bekerjasama untuk membendung penularannya.

Dr Tedros turut memberi amaran terhadap 'nasionalisme sempit dan pembolotan bekalan vaksin' oleh sesetengah negara, katanya dalam satu kenyataan sempena tahun baharu.

Kenyataannya itu dibuat dua tahun selepas WHO pertama kali dimaklumkan mengenai kes jangkitan radang paru-paru yang tidak diketahui di China.

Kes global COVID-19 kini berjumlah 287 juta, manakala hampir 5.5 juta orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Di seluruh dunia, orang ramai menyambut tahun baharu dengan kebanyakan negara mahu menghalang semua pihak daripada berkumpul.

COVID-19 kekal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian dengan wabak berkenaan menyebabkan sempadan negara ditutup, keluarga yang berpisah serta di beberapa tempat perlu memakai pelitup muka.

Dr Tedros dalam ucapannya menyuarakan tanda positif bahawa pada masa kini terdapat pelbagai kaedah dan peralatan untuk merawat COVID-19.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran ketidaksamaan yang berterusan dalam pengedaran vaksin meningkatkan risiko virus berkembang.

"Nasionalisme sempit dan pembolotan bekalan vaksin oleh sesetengah negara menjejaskan ekuiti dan mewujudkan keadaan yang ideal untuk kemunculan varian Omicron, dan semakin lama ketidaksamaan berterusan, semakin tinggi risiko virus ini berkembang dengan cara yang tidak dapat kita cegah atau ramalkan.

"Jika kita menamatkan ketidakadilan, kita menamatkan wabak itu," katanya. - Agensi

Berita Harian X