Khamis, 30 Disember 2021 | 10:43am
Ghislaine Maxwell. - Foto fail AFP
Ghislaine Maxwell. - Foto fail AFP

Sosialit British bersalah atas tuduhan pemerdagangan seks

NEW YORK: Sosialit British, Ghislaine Maxwell didapati bersalah pada Rabu kerana merekrut dan antun seksual gadis untuk didera secara seksual oleh pengurus dana Amerika Syarikat (AS), mendiang Jeffrey Epstein.

Maxwell yang mencecah usia 60 tahun Krismas lalu, disabitkan bersalah oleh 12 juri terhadap lima daripada enam pertuduhan termasuk pertuduhan paling serius memperdagangkan seks kanak-kanak bawah umur.

Dia yang tenang di bilik mahkamah Manhattan, perlahan-lahan menanggalkan pelitup mukanya untuk meneguk air, ketika Hakim Alison Nathan membacakan keputusan yang dicapai selepas lima hari penuh pertimbangan juri.

Peguam Maxwell berkata pasukannya sudah pun mengemukakan rayuan.

"Kami sangat percaya pada Ghislaine yang tidak bersalah. Jelas sekali kami sangat kecewa dengan keputusan itu.

"Kami sudah membuat rayuan dan kami yakin dia tidak bersalah," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Dengan keputusan itu, Ghislaine yang berpendidikan Oxford, juga anak perempuan taikun media British, mendiang Robert Maxwell serta dibesarkan dalam kekayaan dan mendapat keistimewaan sebagai rakan keluarga diraja berpotensi menghabiskan sisa hidupnya di penjara.

Bagi kes pemerdagangan seks kanak-kanak bawah umur, hukuman maksimum dikenakan penjara 40 tahun. Hukuman yang lebih rendah pula mengenakan penjara antara tempoh lima atau 10 tahun.

Maxwell didapati tidak bersalah atas satu pertuduhan - memikat seorang kanak-kanak di bawah umur untuk melakukan perbuatan seks haram.

Tiada tarikh ditetapkan untuk hukumannya. Peguam AS, Damian Williams menyambut baik keputusan itu.

"Juri sebulat suara mendapati Ghislaine Maxwell bersalah atas salah satu jenayah paling teruk yang tidak boleh dibayangkan - memudahkan dan mengambil bahagian dalam penderaan seksual kanak-kanak.

"Jalan menuju keadilan terlalu lama. Namun hari ini keadilan telah dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.

Tuduhan terhadap Maxwell bermula sejak 1994 hingga 2004.

Dua mangsa Epstein berkata mereka berusia seawal 14 tahun apabila Maxwell mengatur agar mereka mengurut Epstein yang berakhir dengan aktiviti seksual.

Seorang mangsa hanya dikenali sebagai Jane memperincikan cara Maxwell merekrutnya di kem musim panas dan membuatnya berasa 'istimewa'.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Carolyn, berkata beliau dibayar AS$300 selepas pertemuan seksual dengan Epstein, selalunya diaturkan oleh Maxwell sendiri.

Epstein, 66, membunuh diri di penjara pada 2019 sementara menunggu perbicaraan kes jenayah seks. - AFP

Berita Harian X