Rabu, 29 Disember 2021 | 9:51am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Omicron dominan di Switzerland

GENEVA : Omicron kini menjadi varian dominan di Switzerland, malah mereka yang sudah lengkap dos penggalak juga dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa semalam.

Dalam satu sidang media di ibu negara itu di Bern, mereka menjelaskan Switzerland kini salah satu negara merekod kadar jangkitan tertinggi di benua Eropah, dengan individu berusia 20-an paling ramai terjejas.

Kira-kira 55 peratus daripada kes Switzerland kini disebabkan Omicron dan varian itu tidak lama lagi dijangka mewakili hampir semua jangkitan baharu yang direkodkan.

Ketua Pengurusan Krisis Kementerian Kesihatan, Patrick Mathys, berkata negara itu sudah merekodkan kira-kira 40 kes individu dihantar ke hospital selepas dijangkiti strain Omicron walaupun sudah menerima dos vaksin penggalak.

Lebih 13,000 kes baharu COVID-19 diumumkan semalam, dengan angka itu dijangka mencecah 20,000 sehari pada Januari ini.

Switzerland, sebuah negara dengan 8.6 juta orang, sudah merekodkan lebih 1.27 juta ujian positif sejak wabak itu melanda.

Negara itu kini bergelut dengan gelombang kelima wabak, dengan Mathys menyifatkan tiada jalan keluar dapat dilihat.

Pesakit COVID-19 kini menduduki 40 peratus daripada katil pusat rawatan rapi yang tersedia di Switzerland.

Sesetengah hospital berada pada kapasiti penuh, namun pemindahan ke hospital lain berfungsi dengan baik, kata Ketua Persatuan Perubatan Cantonal, Rudolf Hauri.

"Dari segi virulensi, varian Omicron kelihatan lebih lemah daripada Delta, namun ini mungkin bergantung kepada tahap vaksinasi penduduk," kata Ketua Pasukan Petugas Saintifik COVID-19, Tanja Stadler.

Kira-kira 67 peratus penduduk Switzerland sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin, dengan 22 peratus sudah mendapat suntikan ketiga. - AFP.

Berita Harian X