Sabtu, 25 Disember 2021 | 6:58am
Seorang jururawat memeriksa pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Perancis, kelmarin. - FOTO AFP
Seorang jururawat memeriksa pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Perancis, kelmarin. - FOTO AFP

Perancis catat 94,124 kes baharu COVID-19 dalam 24 jam

PARIS: Perancis mencatat rekod baharu angka harian kes COVID-19 apabila melaporkan 94,124 jangkitan dalam tempoh 24 jam, semalam.

Selain jumlah tertinggi kes baharu sejak pandemik itu melanda Perancis, ia juga adalah hari kedua berturut-turut negara ini menyaksikan lonjakan penularan yang mencatat rekod angka harian.

Malah, angka itu dijangka terus meningkat susulan ancaman perebakan varian Omicron yang mempunyai kadar kebolehjangkitan sangat tinggi, di samping faktor musim cuti perayaan Krismas.

Ketika ini, seramai 16,173 individu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19 dengan 3,254 dirawat di penjagaan kecemasan.

Perebakan COVID-19 telah meragut 122,462 nyawa di Perancis, hingga kini.

Setakat ini, kira-kira 76.5 peratus daripada keseluruhan 67.4 juta populasi negara ini sudah menerima suntikan dua dos vaksin COVID-19, manakala hampir 21 juta penduduk pula memperoleh dos penggalak.

Semalam, pihak berkuasa kesihatan menyarankan supaya golongan dewasa mendapatkan suntikan dos penggalak tiga bulan selepas lengkap vaksinasi utama. - AFP

Berita Harian X