Selasa, 21 Disember 2021 | 7:22am
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP

2022 tahun tamatkan pandemik COVID-19 - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa dunia terus bersatu dan membuat keputusan sukar yang diperlukan untuk menamatkan pandemik COVID-19 dalam tahun hadapan.

"2022 mestilah tahun kita menamatkan pandemik," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada media di Geneva.

Ketika perayaan sambutan Tahun Baharu semakin hampir, Tedros berkata, pihaknya mengakui bahawa semua orang mahu meluangkan masa bersama rakan dan keluarga dan menjalani kembali kehidupan normal.

"Namun, untuk kembali normal, kita perlu melindungi diri kita sekarang kerana kes jangkitan varian Omicron merebak dengan pantas sekali gus meningkatkan kadar jangkitan virus itu di lebih 80 negara.

Sejak pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan bulan lalu, varian COVID-19 Omicron yang sudah menular di berpuluh-puluh negara, mematahkan harapan bahawa pandemik itu akan berakhir.

Walaupun terdapat kajian bahawa ia tidak lebih teruk daripada varian Delta - masih menjadi strain yang dominan - data awal Omicron bagaimanapun menunjukkan ia mempunyai kebolehtransmisian yang lebih tinggi dan ketahanan terhadap vaksin.

Berikutan peningkatan kes dengan lebih pantas di kebanyakan negara di dunia, Tedros berkata, WHO menggesa adalah lebih baik untuk membatalkan acara sambutan Tahun Baharu sekarang dan meraikannya kemudian daripada meraikan sekarang dan bersedih kemudian.

"Semua negara perlu lebih fokus sekarang untuk menamatkan pandemik ini," katanya.

Tedros juga menegaskan, WHO yakin pandemik itu boleh diputuskan menerusi program vaksinasi secara besar-besaran, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Paling penting, dunia perlu menamatkan ketidakadilan yang ketara dalam akses pemberian kepada vaksin.

"Jika kita ingin menamatkan wabak pada tahun akan datang, kita mesti menamatkan ketidakadilan ini," katanya. - AFP

Berita Harian X