Isnin, 20 Disember 2021 | 3:42pm
Jalan raya lengang di tengah Amsterdam susulan Belanda kembali menguatkuasakan perintah berkurung lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19, sama seperti beberapa negara Eropah lain. - Foto AFP
Jalan raya lengang di tengah Amsterdam susulan Belanda kembali menguatkuasakan perintah berkurung lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19, sama seperti beberapa negara Eropah lain. - Foto AFP

Eropah perketat sekatan, Omicron merebak 'sepantas kilat'

The Hague: Negara di seluruh Eropah sudah mengetatkan sekatan untuk menghalang penyebaran varian Omicron, didahului Belanda yang mengumumkan sekatan penuh diperketatkan.

Pemerintah Belanda mengeluarkan arahan menutup semua kedai, bar, restoran, gim, sukan luar, tempat kebudayaan dan sekolah sejak kelmarin sehingga pertengahan Januari.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, berkata keadaan semasa amat membahayakan kepada semua orang.

"Saya khuatir keadaan akan bertambah buruk menjelang hujung tahun berikutan musim cuti sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru.

"Gelombang kelima COVID-19 tidak dapat dielakkan di negara ini kerana varian Omicron begitu cepat menular dan kita perlu bertindak sekarang untuk mengelakkan senario lebih buruk.

"Tanpa sebarang tindakan, kita mungkin menyaksikan keadaan yang tidak terkawal pada awal Januari," katanya ketika sidang media menerusi televisyen Sabtu lalu.

Menteri Kesihatan Belanda, Hugo de Jonge, berkata usaha untuk memberikan dos penggalak secara besar-besaran akan ditingkatkan secara ketara.

"Kami perlukan ini dan pada masa sama, mengetahui betapa seriusnya risiko varian Omicron terhadap kita," katanya.

Penyelidik kini bertungkus-lumus menentukan sama ada varian Omicron mungkin mempunyai tahap kemudaratan yang lebih tenat atau kurang berbanding varian yang dikesan sebelum ini.

Austria pula mengumumkan sekatan kemasukan lebih ketat untuk pelancong tanpa dos penggalak.

Denmark turut menjadi antara negara terawal di Eropah yang menyaksikan lonjakan kes dari varian baharu, sekali gus bertindak menutup teater, dewan konsert serta taman hiburan.

Ireland mengenakan perintah berkurung di pub dan bar bermula jam 8 malam semalam, sementara Britain melaporkan 90,418 kes COVID-19 pada Sabtu lalu, susut berbanding rekod tertinggi lebih 93,000 kes direkod pada Jumaat.

Kes baru meningkat 44.4 peratus dalam tempoh tujuh hari hingga Sabtu lalu, berbanding minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid, semalam tidak menolak kemungkinan melaksanakan sekatan selanjutnya sebelum sambutan Krismas tahun ini.

"Perebakan jangkitan bergerak sangat pantas," katanya sambil menambah kerajaan mengambil serius nasihat saintisnya, yang memantau data hampir setiap jam.

Penasihat kerajaan itu berkata, kes Omicron yang dilaporkan di Britain pada masa ini belum mencapai tahap puncak, malah pemerintah percaya sekitar 60 peratus kes baharu COVID-19 di negaranya adalah berkaitan Omicron.

Jerman pula pada Sabtu lalu mengumumkan untuk menyenaraikan Britain sebagai negara baru dalam senarai negara berisiko tinggi COVID-19.

Langkah itu, yang bermula semalam, menyaksikan semua ketibaan dari Britain perlu mematuhi arahan kuarantin selama dua minggu tanpa mengira sama ada mereka sudah lengkap divaksin.

Paris pada Sabtu lalu, turut mengumumkan pembatalan acara bunga api pada ambang tahun baru ini, dalam usaha mengekang jangkitan baru.

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex, Jumaat lalu berkata penyebaran varian coronavirus Omicron merebak 'sepantas kilat' di Eropah.

Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen, sudah memberi amaran varian Omicron boleh menjadi dominan di Eropah menjelang pertengahan bulan depan. - AFP

Berita Harian X