Ahad, 19 Disember 2021 | 11:55am
Petugas membantu pemandu kenderaan di pusat pemberikan vaksin secara pandu lalu di Stuttgart, Jerman. - Foto AFP
Petugas membantu pemandu kenderaan di pusat pemberikan vaksin secara pandu lalu di Stuttgart, Jerman. - Foto AFP

Jerman senarai UK negara COVID-19 berisiko tinggi

BERLIN: Pihak berkuasa kesihatan Jerman mengumumkan United Kingdom dimasukkan ke senarai negara berisiko tinggi COVID-19, sekali gus mengenakan sekatan perjalanan lebih ketat.

Keputusan itu adalah tindak balas kepada penularan varian Omicron, di United Kingdom yang memaksa Datuk Bandar London Sadiq Khan mengisytiharkan penularan kes itu sebagai "insiden besar" di ibu negara Britain.

Perubahan itu yang berkuat kuasa pada tengah malam Ahad, bermakna ketibaan pengembara dari United Kingdom perlu mematuhi kuarantin selama dua minggu termasuk mereka yang sudah divaksin, kata agensi kesihatan negara itu, Institut Robert Koch (RKI).

United Kingdom kini dianggap sebagai "zon varian" COVID-19, kategori yang dikhaskan untuk negara yang risikonya paling tinggi.

"United Kingdom dan Ireland Utara sangat terjejas oleh COVID-19. Satu varian baharu dan sangat menular," kata Kementerian Luar Jerman di laman webnya.

Lebih 65,000 kes COVID-19 baharu disahkan di London sejak tujuh hari lalu, dengan 26,418 kes dilaporkan dalam 24 jam terakhir - jumlah tertinggi sejak permulaan wabak itu.

Sebagai tambahan kepada langkah kuarantin itu, hanya warga Jerman atau warga asing yang menetap di Jerman akan dibenarkan datang ke negara itu dari United Kingdom.

Peraturan itu terpakai kepada semua cara pengangkutan dan ujian PCR akan diperlukan untuk semua orang yang melancong ke Jerman.

Menteri Kesihatan Berlin yang baharu, Karl Lauterbach turut memberi amaran ancaman Omicron dan risiko gelombang baharu yang tidak lama lagi boleh melanda negara itu.

"Lebih banyak kita boleh menolak... lebih baik," katanya.

Beberapa negara Eropah lain, termasuk Perancis, telah mengambil langkah untuk mengehadkan kemasukan pelancong dari United Kingdom.

Sementara itu, pihak berkuasa Jerman juga meletakkan Perancis dan Denmark antara zon "berisiko tinggi", satu tahap di bawah UK. - AFP

Berita Harian X