Sabtu, 18 Disember 2021 | 3:58pm
(Gambar fail) Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan. - FOTO AFP
(Gambar fail) Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan. - FOTO AFP

'Saya melihat masa depan yang lebih cerah'

GENEVA: Selepas kira-kira dua tahun berada di barisan hadapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memerangi pandemik COVID-19, Michael Ryan kekal optimis bahawa manusia mampu mengubah perjuangan serta mengambil langkah diperlukan untuk menangani virus berkenaan.

Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO itu mengaku krisis terbabit berupaya berkembang ke arah malapetaka, ketika kebimbangan kian meningkat akan penularan pantas varian Omicron dan lonjakan jangkitan virus berkenaan.

"Kita boleh menghadapi kemunculan berterusan varian baharu dan lebih berbahaya serta gelombang jangkitan yang berulang kali meruntuhkan sistem kesihatan kita.

"Adalah munasabah untuk perkara itu berlaku pada masa depan jika kita tidak menangani virus berkenaan dengan sewajarnya.

"Namun buat masa ini, saya tidak melihat perkara itu. Saya melihat masa depan yang lebih cerah," kata Ryan kepada AFP.

Pakar epidemiologi berusia 56 tahun dan bekas pakar bedah trauma itu menekankan, fasa pandemik terbabit mampu diatasi sekiranya usaha tungkus lumus dilakukan bagi mengawal penyakit berkenaan dan melaksanakan vaksinasi.

Meskipun virus SARS CoV-2 yang mengakibatkan COVID-19 dilihat bakal terus wujud, beliau berkata, ia boleh menjadi satu lagi endemik virus pernafasan seperti selesema.

Setakat ini, penularan COVID-19 dilaporkan telah meragut hampir 5.5 juta nyawa di seluruh dunia, namun angka sebenar dijangka adalah lebih tinggi.

WHO dilaporkan berkata, penularan pantas Omicron bakal menyaksikan lonjakan kes, sistem kesihatan menanggung beban berlebihan serta lebih banyak kematian, kecuali jika negara di serata dunia bertindak segera untuk mengekang perebakannya.

Namun, Ryan menjelaskan, kemunculan varian baharu itu tidak semestinya mengubah pandangan beliau terhadap trajektori pandemik berkenaan.

"Kita sudah lama berdepan masalah sebelum Omicron," katanya merujuk kepada lonjakan kes akibat varian Delta yang masih dominan.

Ryan mengaku keadaan boleh menjadi 'suram' berikutan ketidakseimbangan akses tehadap vaksin, pandemik itu dipolitikkan dan penyebaran maklumat salah secara berleluasa.

Namun, katanya, beliau percaya dunia mampu mengubah perjuangan dengan merujuk kepada 'daya tahan luar biasa' ditunjukkan komuniti, curahan tenaga sedaya upaya oleh petugas kesihatan dan kerjasama saintifik yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sejak pandemik itu tercetus.

"Saya amat optimis mengenai apa yang kita boleh capai bersama," katanya. - AFP

Berita Harian X