Rabu, 15 Disember 2021 | 7:52pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Denmark, Norway ramal gelombang Omicron

COPENHAGEN: Pihak berkuasa kesihatan awam di Denmark dan Norway kelmarin membentangkan ramalan buruk berlakunya gelombang penularan Omicron, varian Covid-19, yang menyaksikan ia mampu merebak meluas di kedua-dua negara dalam masa beberapa hari.

Meskipun saintis tidak tahu berapa kerap varian itu mampu mengakibatkan penyakit teruk, mereka berkata kadar pantas penularannya akan menyebabkan ledakan kes yang mampu meningkatkan tekanan ke atas hospital, walaupun jangkitannya dibuktikan ringan.

Awal bulan ini, agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan varian Omicron boleh menyumbang lebih separuh daripada jangkitan Covid-19 di Eropah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Tekanan lebih dirasakan selepas Britain mengumumkan varian Omicron sudah meragut sekurang-kurangnya satu nyawa di negara itu.

Britain yang menjadi antara negara paling teruk dilanda krisis kesihatan global itu tahun lalu, dipercayai menjadi negara pertama mengumumkan kes kematian akibat jangkitan mutasi virus berkenaan.

Ketika melawat pusat vaksinasi di barat London, Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson memaklumkan Omicron merangkumi kira-kira 40 peratus kes di ibu negara Britain itu, dan kes kemasukan ke hospital sedang meningkat.

Maklumat awal hasil kajian yang dijalankan menunjukkan kebolehjangkitan varian Omicron adalah sangat tinggi melebihi varian Delta, yang sebelum ini adalah varian paling cepat menular.

"Berdasarkan pemodelan matematik yang dijalankan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), terdapat tanda Omicron boleh menyebabkan lebih separuh daripada semua jangkitan SARS-CoV-2 di EU/EEA (Kawasan Ekonomi Eropah) dalam beberapa bulan akan datang," menurut ECDC dalam satu kenyataannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kelmarin, mengikut data awal, varian Omicron lebih mudah berjangkit berbanding Delta, dan mampu mengurangkan keberkesanan vaksin tetapi menyebabkan gejala yang kurang teruk.

Varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India awal tahun ini bertanggungjawab untuk kebanyakan jangkitan koronavirus di dunia.

Namun, penemuan Omicron di Afrika Selatan yang mempunyai sejumlah besar mutasi bulan lalu mendorong negara di seluruh dunia untuk mengenakan sekatan perjalanan ke atas negara di Afrika Selatan dan memperkenalkan semula sekatan domestik untuk memperlahankan penyebarannya.

WHO berkata, Omicron merebak ke 63 negara setakat 9 Disember lalu. - Agensi berita.

Berita Harian X