Rabu, 15 Disember 2021 | 7:05pm
Ketua Menteri Saxony, Michael Kretschmer, menerima ugutan bunuh daripada kumpulan anti vaksin di Jerman. - Foto AFP
Ketua Menteri Saxony, Michael Kretschmer, menerima ugutan bunuh daripada kumpulan anti vaksin di Jerman. - Foto AFP

Ahli politik pro vaksin Jerman terima ugutan bunuh

BERLIN: Polis Jerman dan pasukan khas hari ini melancarkan operasi di bandar timur Dresden selepas seorang ahli politik pro vaksin COVID-19 terkemuka menerima ugutan bunuh.

Pasukan keselamatan di Saxony bertindak susulan ancaman daripada kumpulan anti-vaksin terhadap Ketua Menterinya, Michael Kretschmer.

"Kenyataan daripada beberapa ahli kumpulan itu memaklumkan mereka mungkin memiliki senjata sebenar," kata polis dalam satu kenyataan.

Siasatan dibuat selepas kumpulan wartawan daripada penyiar awam Jerman, ZDF, menyusup masuk ke laman sembang Telegram yang dibuat secara sulit dan melaporkan pada 7 Disember lalu bahawa terdapat ancaman bunuh terhadap Kretschmer.

ZDF mendedahkan kandungan mesej yang didakwa membabitkan seratus ahli kumpulan sembang berkenaan 'berkaitan bantahan mereka terhadap vaksin, kepada negara dan dasar kesihatan semasa', kata pendakwa raya.

Mesej audio menyeru untuk menentang, 'jika perlu dengan menggunakan senjata', mengikut langkah yang ditetapkan dengan menyasarkan ahli politik, khususnya Kretschmer.

Pihak berkuasa mengesyaki wujud 'persediaan bagi jenayah kekerasan yang mengancam negara', kata polis Saxony di Twitter.

Untuk rekod, gerakan secara besar-besaran muncul di Jerman bagi menentang sekatan kesihatan yang dikenakan ketika pandemik COVID-19.

Gerakan berkenaan mempunyai pengaruh yang kuat di Saxony iaitu salah satu wilayah paling teruk dilanda coronavirus dengan kadar vaksinasi yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding purata peringkat kebangsaan. - AFP

Berita Harian X