Rabu, 15 Disember 2021 | 4:30pm
Anggota tentera Ukraine berjalan sepanjang parit pelindung di sempadan dengan Russia di bandar Avdiivka, Donetsk. - Foto AFP
Anggota tentera Ukraine berjalan sepanjang parit pelindung di sempadan dengan Russia di bandar Avdiivka, Donetsk. - Foto AFP

Maklumat risikan dedah 175,000 askar Russia bersiap serang Ukraine

WASHINGTON: Minggu kedua Disember menjadi detik paling getir buat Ukraine selepas Russia dilihat semakin ghairah mempersiapkan pasukan tenteranya bagi menyerang negara itu.

Menyedari ketegangan politik mampu menggugat kestabilan serantau, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, terus mengadakan rundingan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Pemimpin dua negara kuasa besar itu sebelum ini sudah mengadakan pertemuan secara maya selama dua jam pada 7 Disember lalu.

Maklumat risikan terkini diterima AS dan dikongsi dengan sekutu Eropah lain mendedahkan wujud kerahan anggota bagi persediaan kumpulan tentera Russia untuk menyerang Ukraine.

Difahamkan, serangan besar-besaran sedang dirancang terhadap Ukraine selepas mendapat arahan terus daripada Putin.

Akhbar The Washington Post melaporkan pada 3 Disember lalu, Russia dijangka mengerahkan 175,000 tentera bagi menceroboh Ukraine tahun depan dan difahamkan rakaman satelit terkini mengesahkan perkara itu.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov, yang dipetik agensi berita AFP keesokannya, menyatakan Russia dijangka mengerahkan sekitar 100,000 tentera berdekatan sempadan.

AS sebelum ini menerima maklumat kumpulan taktikal Russia sudah pun berada pada kedudukan strategik dan sebarang serangan akan dibantu oleh sokongan udara.

Perkembangan itu benar-benar menimbulkan kerisauan AS, yang mendorong Biden menyuarakan kebimbangan mendalam pentadbirannya kepada sekutunya di Eropah, mengenai 'peningkatan kuasa Russia di sekeliling Ukraine'.

Beliau juga menegaskan bahawa AS dan sekutunya akan bertindak balas sekatan ekonomi dan langkah lain sekiranya berlaku peningkatan tindakan ketenteraan.

Ketegangan yang berlaku itu turut meningkatkan tekanan ke atas 44.13 juta rakyat Ukraine.

Agensi berita Xinhua melaporkan, dalam pertemuan maya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Biden mengulangi sokongan kepada Ukraine dan menggesa pencerobohan dihentikan serta usaha diplomasi mengakhiri krisis dijalankan.

"Kedua-dua presiden menugaskan pasukan masing-masing untuk perbincangan susulan dan AS akan berbuat demikian menerusi penyelarasan rapat dengan sekutu serta rakan kongsi," menurut kenyataan bersama selepas perjumpaan itu. - AGENSI

Berita Harian X