Isnin, 13 Disember 2021 | 9:44pm
Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson. - Foto AFP
Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson. - Foto AFP

Seorang pesakit disahkan maut akibat Omicron di Britain

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson hari ini mengumumkan varian baharu COVID-19, Omicron sudah meragut sekurang-kurangnya satu nyawa di Britain.

Berita duka itu dimaklumkan ketika negara itu melancarkan program suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi mengekang penularan berterusan virus berkenaan.

Britain yang menjadi antara negara paling teruk dilanda krisis kesihatan global itu tahun lalu, dipercayai menjadi negara pertama mengumumkan kes kematian akibat jangkitan mutasi virus berkenaan.

Ketika melawat pusat vaksinasi di barat London, Johnson memaklumkan Omicron merangkumi kira-kira 40 peratus kes di ibu negara Britain itu, dan kes kemasukan ke hospital sedang meningkat.

"Dukacita dimaklumkan, sekurang-kurangnya seorang pesakit disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti Omicron," katanya kepada pemberita, sehari selepas memberi amaran negara itu sedang berdepan 'gelombang besar' jangkitan.

Semalam, Britain memberi amaran itu dengan menaikkan Tahap Amaran COVID kebangsaan kerana peningkatan tahap dan kadar jangkitan pandemik itu.

Dalam satu ucapan menerusi televisyen yang jarang dilakukan, Johnson berkata, langkah kecemasan diperlukan bagi mengelak hospital dipenuhi pesakit dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Semua orang dewasa kini layak untuk menerima dos ketiga vaksin COVID-19 menjelang hujung bulan ini, selepas kerajaan negara itu melanjutkan tempoh akhir untuk satu bulan lagi.

Namun, permintaan tinggi menyebabkan laman tempahan vaksin Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) mengalami kerosakan dan pengguna yang memohon kit ujian saringan dimaklumkan bahawa alat itu sudah kehabisan stok.

Kebimbangan terhadap gelombang baharu COVID-19 di Britain memuncak kerana maklumat mengatakan dua suntikan vaksin adalah kurang berkesan terhadap jangkitan itu berbanding tiga dos.

Sejumlah 1,239 kes membabitkan varian Omicron direkodkan semalam, dan saintis memaklumkan jumlah itu berganda setiap dua hingga tiga hari.

Kadar vaksinasi adalah tinggi di Britain, dengan lebih 81 peratus atau 46.7 juta penduduk berusia 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya dua suntikan, manakala 40 peratus atau 23 juta penduduk sudah mendapat dos penggalak. - AFP

Berita Harian X