Jumaat, 10 Disember 2021 | 10:48pm
Ahli Parlimen Jerman mengundi mengenai usul memperkukuhkan program inokulasi COVID-19 di Bundestag di Berlin. - Foto AFP
Ahli Parlimen Jerman mengundi mengenai usul memperkukuhkan program inokulasi COVID-19 di Bundestag di Berlin. - Foto AFP

Jerman wajibkan pekerja kesihatan disuntik vaksin COVID-19

BERLIN: Sidang Parlimen Jerman hari ini meluluskan deraf undang-undang yang mewajibkan pekerja dan askar penjagaan kesihatan diinokulasi vaksin COVID-19.

Ia dilihat sebagai langkah pertama ke arah kemungkinan suntikan mandatori untuk semua individu dewasa di negara itu.

Majoriti Ahli Parlimen Bundestag mengundi untuk mewajibkan kakitangan hospital, pejabat doktor dan rumah penjagaan diberi vaksin sepenuhnya menjelang pertengahan Mac 2022.

Dewan tertinggi Parlimen Bundesrat dijangka meluluskan rang undang-undang (RUU) itu lewat hari ini berikutan langkah serupa oleh Perancis, Itali, Britain dan Greece.

Menteri Kesihatan, Karl Lauterbach, yang dilantik memegang jawatan minggu ini oleh kerajaan baharu di bawah Olaf Scholz, meminta timbalan menteri dari seluruh spektrum politik untuk menyokong langkah melindungi kumpulan yang terdedah.

"Pandemik COVID-19 adalah misi untuk semua dan bukan untuk parti politik," katanya kepada dewan sebelum pengundian.

Katanya, beliau berharap Jerman dapat menghentikan gelombang keempat wabak itu menjelang akhir bulan ini supaya orang ramai dapat melawat keluarga mereka ketika musim cuti.

"Itulah yang kami perjuangkan," katanya sambil menekankan keperluan untuk memperlahankan penularan varian Delta dan menghentikan varian Omicron daripada tersebar.

Scholz, yang mengambil alih pentadbiran pada Rabu lalu, menyatakan pendirian kuat bagi menyokong vaksinasi wajib selepas kempen sukarela gagal dengan hanya bawah 70 peratus penduduk mendapat suntikan lengkap manakala kira-kira 21 peratus direkodkan menerima dos penggalak.

Usaha untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada orang awam akan menyaksikan negara itu mencontohi negara jiran, Austria, yang menetapkan vaksinasi wajib mulai Februari depan. - AFP

Berita Harian X