Khamis, 9 Disember 2021 | 4:50pm
gambar hiasan. - Foto AGENSI
gambar hiasan. - Foto AGENSI

Omicron dilapor di 57 negara - WHO

GENEVA: Varian Omicron dilaporkan di 57 negara setakat ini dan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan hospital kerana varian itu dijangka meningkat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan Omicron sedang menular dengan pantas dan walaupun gejalanya ringan, kadar jangkitan dijangka meningkat dengan ketara berbanding varian coronavirus lain.

WHO, dalam laporan epidemiologi mingguannya, berkata lebih banyak data diperlukan bagi menilai seteruk mana jangkitan varian Omicron itu dan sama ada mutasi mungkin mengurangkan perlindungan imunisasi hasil suntikan vaksin.

"Tahap serius penyakit varian Omicron dinilai setara atau berpotensi berada pada tahap lebih rendah berbanding varian Delta.

"Namun, keupayaan hospital mungkin mengalami bebanan jika lebih ramai orang dijangkiti dan akan ada susulan masa antara tambahan jumlah kes dengan tambahan kes kematian," jelas WHO.

Pada 26 November lalu, WHO mengesahkan varian Omicron, yang kali pertama dikesan di bahagian selatan Afrika, sebagai varian membimbangkan (VOC) dan ia adalah varian Sars-CoV-2 kelima dalam kategori VOC.

Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Afrika Selatan tambah sekali ganda pada minggu hingga 5 Disember lalu dan kini mencecah lebih 62,000 kes.

Menurut WHO, kes paling banyak dilaporkan berlaku di Eswatini, Zimbabwe, Mozambique, Namibia dan Lesotho.

Menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, penularan Omicron, ditambah dengan ujian yang dipertingkat serta kadar vaksinasi rendah, mungkin memainkan peranan mendorong peningkatan itu.

Setakat semalam, COVID-19, yang mula dikesan pada akhir 2019 di Wuhan China, sudah menjangkiti 268,114,267 mangsa termasuk meragut 5,295,146 nyawa di 222 negara dan wilayah di seluruh dunia. - AGENSI

Berita Harian X