Khamis, 9 Disember 2021 | 8:15am
FOTO AFP
FOTO AFP

Omicron tingkatkan risiko jangkitan semula - WHO

GENEVA: Data awal menunjukkan varian baharu COVID-19, Omicron berkemungkinan lebih mudah menjangkiti semula mereka yang pernah ada virus itu ataupun sudah divaksin, berbanding varian sebelum ini tetapi membawa penyakit lebih ringan.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata ia berdasarkan data diperoleh dari Afrika Selatan.

"Data yang muncul itu menyarankan peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron.

"Terdapat juga beberapa bukti menunjukkan Omicron menyebabkan penyakit lebih ringan berbanding Delta," katanya kepada pemberita, semalam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, lebih banyak data diperlukan sebelum kesimpulan kukuh dapat dirumus.

Justeru, katanya, semua negara digesa meningkatkan pengawasan bagi membantu memberi gambaran lebih jelas mengenai cara Omicron bertindak.

Walaupun varian itu didapati menyebabkan penyakit kurang teruk buat masa ini, Tedros memberi amaran supaya tidak bersikap lalai terhadap ancaman virus berkenaan.

"Sebarang perasaan berpuas hati (dengan perkembangan itu) pada masa ini akan mengorbankan nyawa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, berkata data setakat ini menunjukkan Omicron mencatat kadar kebolehjangkitan tinggi, malah berkemungkinan lebih tinggi daripada Delta.

"Itu bukan bermakna virus itu tidak boleh dihentikan. Ia lebih mudah merebak, justeru kita perlu menggandakan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitannya bagi melindungi diri dan seterusnya melindungi orang lain.

"Meskipun Omicron didapati kurang bahaya berbanding varian sebelum ini, ia tetap boleh menyebabkan lebih ramai orang jatuh sakit dan sistem kesihatan terjejas dengan beban berlebihan jika virus terbabit mampu menular lebih pantas," katanya.

Dalam pada itu, pakar WHO terus menekankan kepentingan imunisasi dengan menjelaskan biarpun sesetengah data menunjukkan vaksin sedia ada didapati kurang berkesan terhadap Omicron, ia dijangka masih berupaya memberi perlindungan signifikan untuk mengelakkan penyakit teruk.

Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan, menegur reaksi susulan hasil kajian awal yang membayangkan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech berkemungkinan menurun terhadap varian baharu itu.

Beliau menjelaskan, kajian dijalankan setakat ini adalah kecil, dan pengurangan 'aktiviti peneutralan' antibodi juga jelas berbeza secara dramatik antara kajian yang berlainan.

"Mereka juga hanya melihat kepada peneutralan antibodi, sedangkan kita tahu sistem imun adalah jauh lebih kompleks daripada itu.

"Justeru, saya berpendapat masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa pengurangan aktiviti peneutralan ini akan menyebabkan penurunan signifikan dalam keberkesanan vaksin. Kita belum tahu akan perkara itu," katanya. - AFP

Berita Harian X