Rabu, 8 Disember 2021 | 10:08pm
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet. - Foto AFP
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet. - Foto AFP

Jangan sekali-kali paksa vaksinasi COVID-19 - PBB

GENEVA: Negara yang bercadang mewajibkan vaksin dalam usaha menentang COVID-19 mesti memastikan mereka menghormati hak asasi manusia dan tidak boleh melakukannya secara paksaan.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet, memberi amaran bahawa pertimbangan hak asasi manusia perlu diambil kira sebelum mewajibkannya.

"Mana-mana negara yang ingin mewajibkan vaksinasi mesti mematuhi prinsip kesahihan, keperluan dan tidak mendiskriminasi mana-mana golongan.

"Dalam keadaan apa pun, setiap orang tidak boleh dipaksa mengambil vaksin," katanya ketika bercakap dalam seminar Majlis Hak Asasi Manusia melalui sidang video.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia itu berkata, matlamat yang dicari oleh negara yang bercadang mewajibkan vaksin adalah untuk melindungi nyawa ketika Eropah dan wilayah lain berusaha melawan lonjakan wabak itu.

Bagaimanapun, Bachelet menegaskan bahawa kewajipan vaksin harus digunakan bila terdapat keperluan untuk mencapai tahap kesihatan awam yang terbaik.

"Ia hanya perlu dipertimbangkan apabila langkah yang kurang mengganggu seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial terbukti gagal memenuhi keperluan kesihatan seperti itu.

"Apabila ia sudah diwajibkan, negara perlu memastikan bahawa vaksin benar-benar tersedia dan harganya berpatutan.

"Melainkan semua orang mempunyai akses yang tulen dan praktikal kepada vaksin, keperluan vaksin tidak akan selaras dengan prinsip asas hak asasi manusia iaitu kesaksamaan dan tanpa diskriminasi" katanya.

Bachelet berkata, adalah wajar untuk menyekat beberapa hak dan kebebasan termasuk menyelaraskan akses ke sekolah, hospital atau ruang awam lain untuk vaksinasi.

"Namun, suntikan secara paksa tidak boleh dilakukan walaupun undang-undang lain, umpamanya denda atau penalti dikenakan terhadap mereka.

"Jika penalti dikenakan, ia harus berkadar dan tertakluk kepada semakan oleh pihak berkuasa kehakiman.

"Regim vaksinasi mandatori juga perlu memberi pengecualian atas sebab perubatan mengikut keperluan individu. - AFP

Berita Harian X