Rabu, 8 Disember 2021 | 10:56am
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Michael Ryan dalam tembu bual bersama AFP di ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Michael Ryan dalam tembu bual bersama AFP di ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP

'Hampir mustahil' vaksin sedia ada gagal atasi Omicron - WHO

GENEVA: Varian Omicron dilihat tidak akan menyebabkan penyakit COVID-19 lebih serius berbanding varian sebelum ini dan 'hampir mustahil' dapat mengelak daripada perlindungan vaksin.

Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang juga pemimpin kedua tertinggi badan itu, Michael Ryan, berkata data awal menunjukkan mutasi baharu virus itu tidak menyebabkan individu dijangkiti berada dalam keadaan lebih serius berbanding Delta dan strain lain.

"Data awal tidak menunjukkan yang ia lebih serius, malah ia dilihat menuju ke arah kurang serius.

"Namun, ketika ini masih terlalu awal dan kita perlu berhati-hati dalam menterjemahkan data," katanya dalam satu temu bual bersama AFP.

Pada masa sama, katanya, tiada data yang menunjukkan Omicron berpotensi mengelak sepenuhnya perlindungan yang diberikan oleh vaksin COVID-19 sedia ada.

"Kita memiliki vaksin yang amat berkesan dan terbukti berkesan terhadap semua jenis varian setakat ini, sama ada dari segi tahap keseriusan penyakit dan kemasukan ke hospital," kata pakar epidemiologi dan bekas pakar bedah trauma berusia 56 tahun itu.

Ryan turut memetik data awal di Afrika Selatan yang mana mana varian baharu itu pertama kali dikesan dan menunjukkan sekurang-kurangnya perlindungan daripada vaksin sedia ada masih bertahan.

Beliau mengakui terdapat kemungkinan vaksin sedia ada kurang berkesan terhadap Omicron, yang memiliki lebih 30 mutasi pada protein pepaku pada permukaan virus dan membolehkannya menyerang sel.

Bagaimanapun, katanya, adalah hampir mustahil untuk varian itu mengelak perlindungan vaksin sepenuhnya.

"Data awal dari Afrika Selatan tidak menggambarkan kita akan kehilangan keberkesanan vaksin yang membimbangkan, tetapi ia menunjukkan sebaliknya buat masa ini," katanya.

Dalam memerangi semua varian COVID-19, beliau berkata, senjata terbaik ketika ini adalah dengan mendapatkan vaksin.

Dua minggu selepas pertama kali dikesan, Omicron kini sudah dikesan di puluhan negara di seluruh dunia.

Ryan berkata, data awal di Afrika Selatan menunjukkan Omicron lebih mudah berjangkit berbanding varian sebelum ini, namun ia tidak mengejutkan kerana mana-mana varian baharu akan lebih mudah berjangkit kerana ia perlu bersaing dengan varian sebelumnya.

Di samping itu, beliau berkata walaupun terdapat mutasi, varian baharu itu masih COVID-19 dan harus dikekang dengan langkah sama termasuk vaksin, pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Virus itu tidak berubah sifatnya. Ia mungkin berubah dari segi kecekapan, tetapi ia tidak mengubah corak permainan sepenuhnya," katanya.

"Peraturan permainan masih sama." - AFP

Berita Harian X