Selasa, 7 Disember 2021 | 8:59pm
Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge. - Foto AFP
Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge. - Foto AFP

WHO Eropah sifatkan langkah wajibkan vaksin pilihan terakhir

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Eropah, hari ini memberi amaran supaya tidak mewajibkan vaksinasi COVID-19, selain menggesa perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak yang merekodkan kes COVID-19 yang tinggi.

Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge, berkata langkah mewajibkan vaksin adalah "pilihan terakhir yang mutlak dan hanya diguna pakai apabila semua pilihan lain yang boleh dilaksanakan untuk menambah baik pengambilan vaksin sudah tiada".

Menyedari langkah mewajibkan vaksinasi meningkatkan pengambilan vaksin dalam sesetengah kes, Kluge berkata, ia adalah "spesifik konteks" dan kesannya terhadap "keyakinan dan kepercayaan awam" juga mesti dipertimbangkan.

Blok kesihatan serantau itu juga sedar, jumlah kes meningkat "dalam semua kumpulan usia, dengan kadar tertinggi ketika ini dilihat pada kumpulan berusia lima hingga 14 tahun."

"Ia adalah sesuatu yang luar biasa untuk melihat insiden dua ke tiga kali ganda lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak berbanding dalam populasi purata.

"Risiko kesihatan menjangkaui lebih daripada kanak-kanak itu sendiri," katanya pada satu sidang media dan menambah, golongan itu berisiko untuk menyebarkan jangkitan kepada ibu bapa dan datuk serta nenek mereka di rumah.

Katanya, penambahbaikan sistem pengudaraan dan penggunaan pelitup muka perlu menjadi standard di semua sekolah rendah sebagai sebahagian daripada persekitaran pembelajaran yang sihat, yang pada masa sama, mengelakkan penutupan sekolah dan pembelajaran jarak jauh.

"Pemberian vaksinasi kepada kanak-kanak perlu dibincang dan dipertimbangkan di peringkat nasional," katanya.

Wilayah Eropah bagi WHO terdiri daripada 53 negara dan wilayah, termasuk beberapa negara di Asia Tengah. - AFP

Berita Harian X