Selasa, 7 Disember 2021 | 12:56pm
Orang ramai, dengan hanya segelintir memakai pelitup muka, kelihatan di sepanjang Oxford Street di tengah London meskipun pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan di negara itu susulan kemunculan COVID-19 varian Omicron. - Foto AFP
Orang ramai, dengan hanya segelintir memakai pelitup muka, kelihatan di sepanjang Oxford Street di tengah London meskipun pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan di negara itu susulan kemunculan COVID-19 varian Omicron. - Foto AFP

Puluhan kes baru Omicron dikesan di Britain, Denmark

LONDON: Puluhan kes baru jangkitan COVID-19 varian Omicron dilaporkan di Britain dan Denmark, sekali gus meningkatkan kebimbangan di serata Eropah bahawa virus itu makin menular.

Varian coronavirus itu merebak ke sekurang-kurangnya 45 negara di serata dunia, dengan Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian besar Eropah melaporkan beberapa kes baru sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Ketika ketidaktentuan merunsingkan masyarakat dunia berhubung kesan varian Omicron, banyak negara mengambil langkah pencegahan dengan melaksanakan sekatan perjalanan dan di beberapa tempat, mengambil langkah lebih serius.

Dengan kes Omicron terus meningkat di serata dunia, jangkaan sekatan akan diperketatkan terus membayangi musim perayaan ini, di mana ramai mengharapkan keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.

Di Eropah, beberapa tempat menyaksikan lonjakan kes jangkitan sejak beberapa minggu lalu.

Rasa tidak menentu semakin memuncak akibat penularan Omicron yang menimbulkan kebimbangan musim sejuk akan menjadi tempoh lebih berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini.

Kelmarin, agensi keselamatan kesihatan Britain mengesahkan penambahan 86 kes dari varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan 246 kes sementara pihak berkuasa di Denmark melaporkan 183 kes varian berkenaan.

Kedua-dua negara dilihat sebagai negara utama dalam melakukan aturan genom dan ujian, memberi mereka kelebihan dalam menjejak penularan virus dan pembiakannya.

Kerajaan Britain kini menghendaki pengembara yang ingin memasuki United Kingdom (UK) mengemukakan keputusan saringan COVID-19 negatif sebelum berlepas, sebagai langkah pencegahan susulan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron.

Berdasarkan peraturan itu, kementerian kesihatan menjelaskan, sesiapa yang ingin memasuki UK wajib mengemukakan keputusan ujian saringan, menggunakan sama ada RT-PCR atau kit ujian pantas, dalam tempoh 48 jam sebelum menaiki penerbangan.

Peraturan itu akan terpakai kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas dari mana-mana negara.

Ketika ini, pengembara perlu menjalani saringan RT-PCR dua hari sebelum ketibaan.

Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan peserta industri pelancongan.

Persatuan Pelancongan Perniagaan berkata pendekatan sedemikian akan merencatkan pembukaan semula industri pelancongan.

Persatuan Operator Lapangan Terbang pula berkata, keputusan untuk mewajibkan pelaksanaan ujian sebelum berlepas akan menjadi kekangan kepada individu yang ingin melancong.

Setiausaha Keadilan Britain, Dominic Raab, mengakui peraturan itu menjadi suatu bebanan kepada industri pelancongan, namun Kerajaan UK tidak mempunyai pilihan lain.

"Kita perlu mengambil keputusan sedemikian untuk menghentikan jangkitan varian baharu daripada terus menular di negara ini, yang dikhuatiri mencetuskan masalah besar," katanya.

Kerajaan UK turut bertekad untuk mengambil tindakan tuntas bagi mengekang penularan virus COVID-19 dan varian Omicron.

Pakar statistik dari Universiti of Cambridge, David Spiegelhalter, berkata sekatan perjalanan ketika ini sekadar mampu memperlahankan penularan Omicron tetapi varian membimbangkan (VOC) itu akan akhirnya berjaya menyusup masuk ke UK.

England kini kembali mewajibkan pemakaian pelitup muka di kedai dan ketika menaiki pengangkutan awam, berikutan penularan Omicron.

Setakat ini, 160 kes Omicron dikesan di UK, meliputi England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. - AFP

Berita Harian X