Isnin, 6 Disember 2021 | 5:19pm
Olaf Scholz akan menggantikan Angela Merkel sebagai pemimpin ekonomi terbesar Eropah. - Foto AFP
Olaf Scholz akan menggantikan Angela Merkel sebagai pemimpin ekonomi terbesar Eropah. - Foto AFP

Scholz ambil alih teraju Jerman daripada Merkel

BERLIN: Parlimen Jerman akan secara rasminya melantik Olaf Scholz, Rabu ini sebagai Canselor Jerman yang baharu, sekali gus mengakhiri tempoh pentadbiran 16 tahun diterajui Angela Merkel.

Scholz memimpin partinya, Demokrat Sosial bagi meraih kemenangan terhadap parti konservatif, Merkel, menerusi pilihan raya yang diadakan September lalu.

Bersama dengan Greens dan parti liberal, Free Democrats, Scholz melakar kejayaan dalam tempoh singkat bagi membentuk sebuah gabungan yang dijangka bakal mengubah landskap Jerman.

"Saya mahu tahun ini menjadi sebagai detik permulaan baharu," katanya sambil menyatakan tekad ke arah memacu pemodenan industri paling besar yang mampu menghentikan kesan perubahan iklim didalangi pelbagai aktiviti manusia.

Pergerakan berhaluan kiri tengah yang kembali menerajui tampuk pemerintahan ekonomi negara terbesar Eropah berupaya mengalih keseimbangan yang terjejas ekoran Brexit.

Kesan sama dijangka dialami di Perancis yang bakal mengadakan pilihan raya presiden pada tahun depan.

Sebelum menerajui pentadbiran negara, gabungan 'lampu isyarat' Scholz yang mendapat jolokan sedemikian berasaskan warga ketiga-tiga parti kini berdepan cabaran getir menerusi gelombang keempat pandemik COVID-19.

Scholz setakat ini menyatakan pendirian ke arah mewajibkan pengambilan vaksin, justeru beliau mahu Ahli Parlimen melakukan undian terhadap langkah berkenaan sebelum hujung tahun ini manakala pelaksanaan dasar sedemikian bakal berlaku Februari 2022.

"Untuk kerajaan saya, tiada sekatan atau sempadan terhadap apa yang perlu dilakukan. Kita tidak mengecualikan apa sekali pun.

"Ia sesuatu yang kita tidak dapat harungi atau terima tatkala bencana alam atau malapetaka kesihatan seperti pandemik sedang meruncing," katanya. - AFP

Berita Harian X