Ahad, 5 Disember 2021 | 7:22pm
Setiausaha Keadilan UK, Dominic Raab. - Foto AFP
Setiausaha Keadilan UK, Dominic Raab. - Foto AFP

Pengembara ke UK perlu kemuka saringan COVID-19 sebelum berlepas

LONDON: Semua pengembara yang ingin memasuki United Kingdom (UK) perlu mengemukakan keputusan saringan COVID-19 yang negatif, sebelum berlepas.

Keputusan untuk kembali memperuntukkan sekatan perjalanan yang diumumkan Kerajaan United Kingdom (UK) itu sebagai langkah pencegahan, susulan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron.

Berdasarkan peraturan itu, kementerian kesihatan menjelaskan, sesiapa yang ingin memasuki UK diwajibkan untuk mengemukakan keputusan ujian saringan, menggunakan sama ada RT-PCR atau kit ujian pantas, dalam tempoh 48 jam sebelum menaiki penerbangan.

Peraturan itu akan terpakai kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas dari mana-mana negara.

Ketika ini, pengembara perlu menjalani saringan RT-PCR, dua hari sebelum ketibaan.

Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan peserta industri pelancongan.

Persatuan Pelancongan Perniagaan berkata, pendekatan sedemikian bakal merencatkan pembukaan semula industri pelancongan.

Persatuan Operator Lapangan Terbang pula berkata, keputusan untuk mewajibkan pelaksanaan ujian sebelum berlepas bakal menjadi kekangan kepada individu yang ingin melancong.

Setiausaha Keadilan, Dominic Raab, mengakui peraturan itu ialah suatu bebanan kepada industri pelancongan, namun Kerajaan UK tidak mempunyai pilihan lain.

"Kita perlu mengambil keputusan sedemikian untuk menghentikan jangkitan varian baharu daripada terus menular ke negara ini yang dibimbangi bakal mencetuskan masalah besar," katanya.

Kerajaan UK turut bertekad untuk mengambil tindakan tuntas bagi mengekang penularan virus COVID-19 dan varian Omicron.

Pakar statistik dari University of Cambridge, David Spiegelhalter, berkata sekatan perjalanan ketika ini sekadar mampu memperlahankan penularan Omicron, tetapi varian membimbangkan (VOC) itu akan akhirnya berjaya menyusup masuk ke UK.

England kini kembali mewajibkan pemakaian pelitup muka di kedai dan ketika menaiki pengangkutan awam, berikutan penularan Omicron.

Setakat ini, sebanyak 160 kes Omicron dikesan di UK. - AFP

Berita Harian X