Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:26pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Belum ada laporan kematian akibat varian Omicron - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan pihaknya setakat ini tidak menerima laporan mengenai kes kematian berkaitan varian COVID-19 baharu, Omicron.

Agensi antarabangsa itu sedang mengumpul bukti mengenai varian membimbangkan (VOC) itu ketika negara seluruh dunia 'berlumba-lumba' untuk menghentikan penularan varian itu.

Meskipun angka negara yang merekodkan jangkitan berpunca daripada varian baharu itu semakin bertambah, tiada kematian dilaporkan kepada WHO.

"Saya belum melihat laporan kematian berkaitan Omicron," kata jurucakap WHO, Christian Lindmeier kepada pemberita di sini.

"Kami sedang mengumpulkan bukti dan kami akan terus mencari lebih banyak bukti.

"Lebih banyak negara... menjalankan ujian saringan dan melihat varian Omicron secara spesifik, kita juga akan menemui lebih banyak kes, lebih banyak maklumat termasuk mengenai kemungkinan berlaku kematian," katanya.

Ketika Omicron sedang 'menggoncang' dunia, Lindmeier turut mengingatkan semua orang supaya berwaspada dengan penularan varian Delta yang menyumbang 99.8 peratus penjujukan, seperti dimuat naik di Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) dengan spesimen dikumpul 60 hari lalu.

"Omicron mungkin semakin meningkat dan kita mungkin akan sampai ke peringkat di mana ia akan mengambil alih untuk menjadi varian dominan tetapi ketika ini, varian lebih dominan adalah Delta," katanya.

Menurut Lindmeier, sekatan yang dikenakan di banyak negara sejak dua minggu lalu menyaksikan penutupan kembali ekonomi dan pelaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan.

"Malah, pasar sempena sambutan hari Krismas juga ditutup di beberapa bahagian di Eropah ekoran peningkatan kes disebabkan varian Delta, iaitu sebelum kemunculan Omicron lagi.

"Jangan kita terlepas pandangan mengenai ini," tegasnya.

Sehubungan itu, Lindmeier menggesa orang ramai untuk mengamal pakai langkah-langkah yang terbukti dapat melindungi diri mereka daripada varian Delta termasuk Omicron. - AFP

Berita Harian X