Khamis, 2 Disember 2021 | 5:50pm
Kakitangan perubatan berpakaian perlindungan diri (PPE) memindahkan pesakit COVID-19 ke dalam pesawat Airbus A310-900 MRTT MedEvac Hermann Koehl milik tentera Jerman untuk di bawa ke hospital lain, di lapangan Terbang Antarabangsa Dresden, Saxony di timur Jerman. - Foto AFP
Kakitangan perubatan berpakaian perlindungan diri (PPE) memindahkan pesakit COVID-19 ke dalam pesawat Airbus A310-900 MRTT MedEvac Hermann Koehl milik tentera Jerman untuk di bawa ke hospital lain, di lapangan Terbang Antarabangsa Dresden, Saxony di timur Jerman. - Foto AFP

Jerman cadang mahu wajibkan inokulasi COVID-19

BERLIN: Jerman bercadang untuk memuktamadkan langkah baharu bagi mengekang lonjakan kes COVID-19, antaranya termasuk mewajibkan suntikan vaksin.

Canselor Jerman, Angela Merkel dan bakal penggantinya, Olaf Scholz, akan bertemu dengan pemimpin wilayah negara itu pada Khamis ini bagi membincangkannya.

Angka jangkitan mula mencatatkan rekod di Jerman dalam tempoh beberapa minggu lalu, sehingga mula mencemaskan hospital apabila pesakit mula bertambah melebihi kemampuan dan terpaksa dihantar ke tempat lain untuk rawatan.

Meskipun kadar jangkitan turun sedikit dalam tempoh seminggu, parasnya masih berlegar pada 442.9 jangkitan baharu bagi setiap 100,000 orang pada Rabu lalu, dengan 67,186 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Merkel, Scholz dan pemimpin 16 negeri lain memperketatkan lagi sekatan COVID-19 dua minggu lalu tetapi kali ini perlu duduk semeja sekali lagi pada Selasa depan bagi membincangkan langkah lebih ketat dan dijangka akan memperkemaskan kedudukan.

Selepas mesyuarat pada Selasa lalu, Scholz berkata beliau cenderung untuk mewajibkan suntikan vaksinasi bagi semua rakyat Jerman selain mahu ahli Parlimen mengundi berhubung langkah itu sebelum hujung tahun.

"Terlalu ramai orang yang tidak divaksin," katanya kepada stesen televisyen Bild sambil menambah kemungkinan mewajibkan suntikan vaksin adalah wajar untuk melindungi semua.

Ramai pakar mendakwa Jerman adalah punca meletusnya gelombang keempat COVID-19 kerana ada kaitan dengan kadar vaksinasi rendah iaitu sekitar 68 peratus.

Jika dibandingkan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) lain, Sepanyol umpamanya mencapai 79 peratus dan Portugal 86 peratus.

Menurut Shcolz, syarat mewajibkan vaksin sepatutnya dikuatkuasa pada awal Februari atau Mac supaya negara sekarang dapat bergerak sekarang bagi melaksanakan inokulasi.

Beliau juga berjanji ahli Parlimen akan diberi kebebasan untuk mengundi mengikut pilihan masing-masing.

Kerajaan pimpinan Merkel sentiasa menolak pemberian vaksin secara mandatori tetapi langkah itu sekarang disokong oleh ahli politik merentasi spektrum.

Jurucakap Merkel pada Rabu lalu tidak menyokong langkah itu tetapi mengatakan Jerman 'dalam keadaan pandemik di mana ada kemungkinan baharu perlu difikirkan'.

Presiden EU, Ursula von der Leyen, semalam berkata ini masanya untuk blok rantau itu mempertimbang mewajibkan vaksinasi bagi menentang COVID-19 dan terpulang kepada negara berkenaan untuk membuat keputusan.

"Pendirian peribadi saya... saya fikir ia boleh difahami dan wajar untuk berbincang sekarang," katanya. - AFP

Berita Harian X