Khamis, 2 Disember 2021 | 7:55am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Perancis gubal hukuman penjara pembuli di sekolah

PARIS: Parlimen Perancis semalam mula meneliti deraf undang-undang yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun bagi salah laku buli di sekolah dalam usaha menangani kes sedemikian.

Cadangan yang disokong Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer itu dijangka turut meraih sokongan majoriti penggubal undang-undang di bawah gabungan Presidennya, Emmanuel Macron dan parti Republikan berhaluan kanan.

"Kami tidak akan pernah menerima (kenyataan), kehidupan anak-anak kami akan hancur," kata Blanquer ketika perbahasan dan menyifatkan deraf undang-undang itu 'satu kaedah untuk menguatkuasakan nilai republik'.

Selain meningkatkan sumber untuk pencegahan dan pendidikan, undang-undang itu akan mewujudkan peruntukan baharu bagi kesalahan buli di sekolah yang akan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga 45,000 euro (RM215,014), bergantung tahap keseriusan kes dan umur pelakunya.

Dalam kes membabitkan mangsa buli membunuh diri atau cuba membunuh diri, hukuman penjara ke atas boleh dikenakan sehingga 10 tahun.

Beberapa kes buli yang berakhir dengan tragedi telah menjadi tajuk utama akhbar di Perancis tahun ini.

Ia termasuk kes bunuh diri seorang gadis berusia 14 tahun di wilayah timur Alsace pada Oktober lalu yang diganggu selepas mengaku gay kepada rakan sekelas.

Bagaimanapun, pembangkang dari sayap kiri kerajaan, Sabine Rubin mengkritik undang-undang yang dicadangkan itu.

Pemimpin parti France Unbowed itu menyebutnya sebagai 'tindak balas demagogi berlebihan dan mengelirukan'.

Untuk rekod, tinjauan menunjukkan, satu daripada 10 murid di Perancis dibuli pada satu masa.

Dalam pada itu, kumpulan pakar berkata, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu mengalami perubahan disebabkan penggunaan telefon pintar dan rangkaian sosial yang sering menyebabkan mangsa dimalukan secara terbuka.

Wanita pertama Perancis, Brigitte Macron, yang juga seorang bekas guru menjadikan usaha mengekang kes buli sebagai fokus dalam kerja-kerja kebajikan beliau sejak 2017. - AFP

Berita Harian X