Selasa, 30 November 2021 | 1:10pm
Presiden AS, Joe Biden. - FOTO EPA
Presiden AS, Joe Biden. - FOTO EPA

Omicron bukan sebab untuk panik - Biden

LONDON: Menteri Kesihatan negara anggota G7 semalam menggesa agar 'tindakan segera' diambil bagi memerangi penularan varian baharu COVID-19, Omicron ke seluruh dunia.

Namun Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pula menegaskan kemunculan strain terbabit 'bukan sebab untuk panik.'

Biden memberitahu rakyat AS bahawa setakat ini, beliau tidak menjangkakan pelaksanaan perintah berkurung baharu atau sekatan perjalanan dilanjutkan kerana penularan varian Omicron.

Beliau menekankan, AS berada dalam kedudukan yang baik untuk mengawal penularan varian baharu itu.

"Kini, kita mempunyai lebih banyak kaedah dan peralatan untuk memerangi varian itu berbanding sebelum ini," katanya.

Biden juga memaklumkan bahawa ketua penasihat perubatan, Anthony Fauci menjangka vaksin COVID-19 yang sedia ada berkesan terhadap varian Omicron, dengan pemberian dos penggalak meningkatkan perlindungan imuniti.

Dalam pada itu Australia serta Jepun turut menyertai senarai semakin banyak negara di serata dunia yang mengenakan sekatan perjalanan atau menutup sempadan masing-masing, selepas Omicron dikenal pasti dan telah merebak pantas ke Eropah, Asia serta Amerika Utara.

Meskipun belum ada kematian dilaporkan akibat jangkitan varian Omicron, kemunculannya menunjukkan dunia terus dibelenggu ancaman COVID-19 selepas kes pertama virus itu direkodkan hampir dua tahun lalu.

Malah banyak negara, terutama di barat Eropah, terus bergelut dengan peningkatan pantas kes COVID-19 dan melaksanakan semula pelbagai langkah sekatan, sekali gus memberi kesan terhadap perniagaan.

"Masyarakat global berdepan ancaman baharu, berdasarkan penilaian awal, varian COVID-19 dengan kebolehjangkitan tinggi yang memerlukan tindakan segera diambil," menurut Menteri Kesihatan negara anggota G7 selepas menghadiri mesyuarat tergempar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan berkata secara keseluruhan, risiko varian Omicron adalah 'sangat tinggi', sekali gus memberi amaran sebarang lonjakan besar penularan COVID-19 akan memberi tekanan terhadap sistem kesihatan dan mengakibatkan lebih banyak kematian.

"Jika berlaku satu lagi lonjakan besar penularan COVID-19 yang dipacu varian Omicron, akibatnya berkemungkinan amat teruk," kata WHO.

Malah, WHO menyimpulkan bahawa 'risiko global secara keseluruhan yang berkait dengan varian membimbangkan (VOC) Omicron, dinilai sebagai amat tinggi.'

Sebelum ini, saintis di Afrika Selatan dilaporkan berjaya mengesan varian baharu COVID-19 yang mempunyai sekurang-kurang 10 mutasi berbanding Beta (tiga) dan Delta (dua) - strain yang menjejaskan usaha pemulihan global serta mengakibatkan berjuta-juta penduduk seluruh dunia kembali menjalani perintah berkurung.

Doktor di Afrika Selatan, Angelique Coetzee, memaklumkan kes varian Omicron yang dilihatnya bagaimanapun menunjukkan gejala lebih ringan berbanding varian lain.

Sementara itu Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell, semalam dilaporkan berkata penularan varian Omicron boleh memperlahankan pemulihan ekonomi serta pasaran buruh negara berkenaan, serta meningkatkan ketidaktentuan inflasi. - AFP

Berita Harian X