Sabtu, 27 November 2021 | 9:43pm
Lapangan Terbang Antarabangsa Galeao di Rio de Janeiro, Brazil menyertai banyak negara lain melarang penerbangan dari negara Afrika susulan penemuan varian baharu COVID-19, Omicron. - Foto AFP
Lapangan Terbang Antarabangsa Galeao di Rio de Janeiro, Brazil menyertai banyak negara lain melarang penerbangan dari negara Afrika susulan penemuan varian baharu COVID-19, Omicron. - Foto AFP

61 kes positif COVID-19 dalam penerbangan Afrika Selatan ke Belanda

THE HAGUE: Pihak berkuasa kesihatan Belanda hari ini memaklumkan 61 penumpang dalam dua penerbangan KLM dari Afrika Selatan diuji positif COVID-19.

Pihak berkuasa berkata sampel ujian calitan kini sedang diteliti bagi mengesan kemungkinan varian baharu Omicron.

Semua kes positif itu kini dikuarantin di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, di mana 600 penumpang dari Johannesburg itu terpaksa menghabiskan berjam-jam untuk menjalani ujian saringan semalam.

"Kini kami mengesahkan 61 daripada keputusan saringan itu adalah positif dan 531 lagi negatif.

"Keputusan ujian positif akan diperiksa secepat mungkin untuk menentukan sama ada ini membabitkan varian baharu yang membimbangkan iaitu Omicron," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah pihak berkuasa, semua penumpang yang diuji positif mesti di kuarantin di hotel selama tujuh hari jika mereka menunjukkan simptom dan selama lima hari jika tanpa gejala.

Sementara itu penumpang yang diuji negatif namun kekal berada di Belanda, hanya menjalani tempoh pemantauan di rumah.

"Kami faham orang ramai kecewa dengan keadaan ini. Mereka baru saja membuat perjalanan jauh dengan harapan dapat pulang secepat mungkin.

"Sebaliknya, selepas mendarat, mereka berdepan dengan keadaan yang belum pernah kami lalui di Belanda iaitu orang ramai perlu diuji di Schiphol dan terpaksa menunggu sehingga mereka memperoleh keputusan ujian," katanya.

Katanya, mereka yang tidak menetap di Belanda pula boleh meneruskan perjalanannya.

Syarikat penerbangan nasional Belanda itu berkata, pihaknya akan terus mengendalikan penerbangan dari Johannesburg dan Cape Town dengan mematuhi protokol lebih ketat.

Katanya, penumpang luar dilarang memasuki negara itu kecuali warganegara Belanda dan EU, dengan syarat mesti menunjukkan ujian PCR negatif dan menjalani kuarantin diri sebaik ketibaannya.

"KLM memandang serius keadaan ini dan terus mengutamakan keselamatan semua penumpang serta anak kapal. Oleh itu, syarat keselamatan ketat akan dikenakan untuk penumpang dan anak kapalnya," kata syarikat penerbangan itu.

Sementara itu di Jerman, pihak berkuasa kesihatan hari ini mengenal pasti kes pertama positif COVID-19 varian terbaru pada individu yang baru pulang dari Afrika Selatan.

Menteri Hal Ehwal Sosial di negeri Hesse, Kai Klose, menerusi ciapan Twitter mengesahkan kemungkinan besar varian Omicron sudah tiba di Jerman, negara berpenduduk paling padar di Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, ujian pada pengembara yang pulang ke Jerman dari Afrika Selatan semalam menerusi lapangan terbang antarabangsa Frankfurt, juga yang paling sibuk di negara itu, didapati positif bagi 'beberapa mutasi mirip kepada varian Omicron'.

"Individu berkenaan disyaki dijangkiti dan kini menjalani kuarantin di rumah sementara penjujukan penuh sampel calitan dilakukan.

Perdana Menteri di negara jiran, Republik Czech, Andrej Babis, hari ini mengesahkan makmal tempatan sedang meneliti sampel ujian daripada seorang wanita yang pulang dari Namibia dan disahkan positif sejurus tiba.

"Mangsa menaiki penerbangan pulang ke Republik Czech menerusi Afrika Selatan dan Dubai.

"Wanita yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 itu mempunyai simptom ringan dan kita akan memperoleh hasil ujian esok," katanya menerusi ciapan di Twitter. - AFP

Berita Harian X