Sabtu, 27 November 2021 | 9:50am
FOTO AGENSI
FOTO AGENSI

Omicron dedah risiko 'tinggi hingga sangat tinggi' kepada Eropah

STOCKHOLM: Varian baharu COVID-19, Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan, mendedahkan risiko 'tinggi hingga sangat tinggi' terhadap Eropah.

Amaran itu diberi oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), semalam, dalam satu laporan penilaian ancaman.

"Masih terdapat ketidakpastian yang ketara berkaitan kebolehjangkitan, keberkesanan vaksin, risiko untuk jangkitan semula dan sifat lain varian Omicron.

"Bagaimanapun, risiko keseluruhan Omicron terhadap Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) (mencakupi Iceland, Liechtenstein serta Norway), adalah tinggi hingga sangat tinggi," katanya.

Menurut ECDC lagi, pihaknya turut mengambil kira kemungkinan vaksin sedia ada tidak dapat melindungi daripada jangkitan Omicron, selain varian baharu itu juga berkemungkinan mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi.

"Kami menilai kebarangkalian pengenalan dan penularan dalam komuniti yang lebih lanjut di EU/EEA adalah tinggi.

"Dalam keadaan varian Delta muncul semula di EU/EEA, impak pengenalan dan kemungkinan penyebaran lanjut Omicron boleh menjadi amat tinggi," katanya.

Agensi itu sekali gus menggesa pelaksanaan penjujukan genom dan pengesanan kontak bagi kes disahkan, serta meminta orang ramai tidak melakukan perjalanan ke kawasan terjejas dengan varian berkenaan.

Di samping Afrika Selatan, Omicron dilaporkan dikesan di Israel membabitkan seorang individu tiba dari Malawi, selain di Botswana, Hong Kong dan Belgium yang juga negara anggota EU. - AFP

Berita Harian X