Jumaat, 26 November 2021 | 8:47am
Anggota pasukan penyelamat mula meninggalkan lokasi kemalangan lombong arang batu Listvyazhnaya di wilayah Kemerovo selepas pihak berkuasa Russia menghentikan operasi mencari atas faktor keselamatan. - Foto AFP
Anggota pasukan penyelamat mula meninggalkan lokasi kemalangan lombong arang batu Listvyazhnaya di wilayah Kemerovo selepas pihak berkuasa Russia menghentikan operasi mencari atas faktor keselamatan. - Foto AFP

Kemalangan di lombong arang batu Siberia ragut lebih 50 nyawa

GRAMOTEINO: Lebih 50 orang dilaporkan maut termasuk enam penyelamat selepas lemas akibat terhidu asap di lombong arang batu di Siberia dalam operasi menyelamat yang berakhir dengan tragedi.

Menurut agensi berita Russia yang memetik maklumat pihak berkuasa tempatan, 52 dilaporkan maut termasuk pelombong dan penyelamat di lombong Listvyazhnaya, wilayah Kemerovo, Russia.

Pihak berkuasa wilayah melaporkan 40 mangsa lagi kini sedang menerima rawatan di hospital dan operasi menyelamat kini dibatalkan atas faktor keselamatan.

Rentetan itu, Jawatankuasa Siasatan Russia menahan tiga individu membabitkan pengarah lombong berusia 47 tahun dan timbalan pertama berusia 59 tahun serta pengurus kanannya bagi membantu siasatan.

Mereka disyaki melanggar aspek keselamatan sehingga menyebabkan kemalangan maut terbaru yang melanda industri perlombongan besar negara terbabit.

"Menurut maklumat awal, tiada mangsa yang dipercayai selamat dalam lombong berkenaan," menurut agensi berita kebangsaan, TASS yang memetik kenyataan sumber dari perkhidmatan kecemasan tempatan.

Lombong Listvyazhnaya yang terletak berhampiran Belovo di wilayah Kemerovo

dipenuhi dengan asap dalam kemalangan yang berlaku awal pagi semalam ketika 285 pekerja terperangkap di dalamnya.

Kebanyakan mereka dilaporkan berjaya dibawa keluar namun seramai 35 pelombong tidak dapat dikesan.

Sehingga kini punca kejadian masih disiasat walaupun beberapa media Russia melaporkan bahawa habuk dalam lubang pengudaraan terbakar, menyebabkan lombong itu dipenuhi asap.

Agensi berita RIA Novosti memetik laporan pihak pendakwa bahawa percikan api mungkin mencetuskan letupan metana.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada mulanya namun terpaksa dibatalkan beberapa jam selepas itu selepas pihak berkuasa memberi amaran ancaman letupan boleh berlaku.

Laporan turut menyebut enam mayat pelombong yang kehabisan oksigen turut ditemui.

Sementara itu, Jawatankuasa Siasatan Russia kini sudah membuka kertas siasatan terhadap insiden terbabit selepas menahan tiga individu.

"Semasa siasatan awal, kita percaya bahawa suspek melanggar syarat keselamatan industri," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Pihak gabenor mengisytiharkan tiga hari waktu berkabung di wilayah itu bermula hari ini.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin, menyifatkan kemalangan itu sebagai satu tragedi besar, semasa perbincangan dengan pemimpin Serbia, Aleksandar Vucic, di Sochi. - AFP

Berita Harian X