Khamis, 25 November 2021 | 1:55pm
Notis amaran mengenai peraturan 2G yang menetapkan hanya mereka yang divaksin atau pulih sepenuhnya daripada COVID-19 di beri akses ke premis awam, terpampang pada cermin tingkap sebuah kedai roti di Radeberg, Saxony, timur Jerman. - Foto AFP
Notis amaran mengenai peraturan 2G yang menetapkan hanya mereka yang divaksin atau pulih sepenuhnya daripada COVID-19 di beri akses ke premis awam, terpampang pada cermin tingkap sebuah kedai roti di Radeberg, Saxony, timur Jerman. - Foto AFP

Kematian COVID-19 di Jerman melepasi 100,000 kes

FRANKFURT: Sebuah agensi kesihatan hari ini mengumumkan lebih 100,000 orang di Jerman maut akibat COVID-19 sejak permulaan pandemik di negara itu.

Menurut angka dari Institut Robert Koch, ekonomi terbesar Eropah itu sedang menghadapi lonjakan baharu kes COVID-19, merekodkan 351 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 100,119.

Ketika jangkitan mencapai rekod tertinggi dan unit rawatan rapi penuh, krisis kesihatan memberi cabaran segera kepada kerajaan gabungan baharu ditetapkan bagi mengambil alih Kabinet Angela Merkel.

Ketua Persatuan Antara Disiplin Jerman untuk Rawatan Rapi dan Perubatan Kecemasan, Gernot Marx, berkata beberapa hospital sudah menghadapi 'beban akut', menyebabkan pesakit COVID-19 perlu dipindahkan ke luar negara.

Jerman minggu lalu mengumumkan sekatan lebih ketat termasuk mewajibkan orang ramai membuktikan mereka sudah divaksin, sembuh atau baru-baru ini disahkan negatif COVID-19, sebelum boleh menaiki pengangkutan awam atau ke tempat kerja.

Beberapa kawasan paling teruk terjejas sudah mengarahkan sekatan pergerakan baharu.

Lonjakan itu juga mencetuskan perdebatan sengit di Jerman sama ada akan mengikuti contoh Austria dan mewajibkan vaksinasi untuk semua rakyatnya.

Bakal Canselor, Olaf Scholz, menyuarakan sokongan mewajibkan suntikan dan berkata kerajaan barunya akan melabur satu bilion euro (RM4.7 bilion) sebagai bonus bagi pekerja penjagaan kesihatan.

Gelombang keempat di Jerman sebahagiannya dikatakan berpunca akibat kadar vaksinasi agak rendah iaitu kira-kira 69 peratus, berbanding negara Eropah lain seperti Perancis, di mana ia adalah 75 peratus. - AFP

Berita Harian X