COPENHAGEN: Eropah terus dicengkam COVID-19 dengan kadar kematian dijangka mencecah 2.2 juta pada musim sejuk ini jika trend jangkitan semasa berterusan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sekitar 700,000 orang boleh mati akibat COVID-19 dalam beberapa bulan akan datang, kata WHO lagi, dengan beberapa negara di Eropah kembali melaksanakan semula sekatan pergerakan ke atas penduduknya.
WHO juga menjangka unit jagaan rapi hospital di 49 daripada 53 negara Eropah akan menjadi amat tertekan antara bulan ini hingga 1 Mac 2022.
"Angka korban yang dilaporkan oleh negara terbabit pula dijangka mencecah 2.2 juta sehingga musim luruh pada tahun depan.
"Ramalan kadar kematian ini adalah lebih tinggi daripada jumlah kumulatif 1.5 juta kematian akibat coronavirus pada masa ini," katanya.
Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan, dalam perangkaan terkininya melaporkan COVID-19 sebagai penyebab utama kematian di Eropah.
Bilangan kes COVID-19 yang melonjak di benua itu sekarang antara lain disebabkan varian Delta yang mudah berjangkit.
Selain itu, perlindungan vaksin yang semakin berkurangan dalam kalangan penduduk Eropah dan tindakan pihak berkuasa melonggarkan aturan keselamatan seperti memakai pelitup dan penjarakan fizikal turut menyumbang kepada kenaikan itu.
Sementara itu, data WHO pula menunjukkan kematian disebabkan COVID-19 bertambah hampir 42,000 kes sehari pada minggu lalu, sekali ganda lebih tinggi berbanding sekitar 2,100 kematian sehari pada akhir September lalu.
WHO juga berkata ada bukti menunjukkan perlindungan yang diberikan menerusi vaksinasi sudah berkurangan.
"Krisis COVID-19 di Eropah dan beberapa negara di Asia adalah amat serius," kata pengarah WHO di Eropah, Hans Kluge, menerusi satu kenyataan.
Beliau menggesa pihak berkuasa di Eropah dan negara lain yang mengalami lonjakan jangkitan supaya menangani keadaan itu dengan melaksanakan semula vaksinasi, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka.
WHO berkata penggunaan pelitup boleh mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 sehingga 53 peratus, berdasarkan satu kajian yang dilakukan baru-baru ini.
Katanya, lebih 160,000 kematian boleh dicegah menjelang 1 Mac nanti, jika 95 peratus penduduk dunia menggunakan pelitup.
Namun, beberapa negara di Eropah sedang menghadapi bantahan daripada penduduknya untuk melaksanakan panduan yang disyorkan WHO.
Ribuan orang kini sedang membantah pelaksanaan vaksin mandatori di Austria, Belanda, Belgium Denmark Itali, Switzerland dan Croatia, menurut laporan beberapa agensi berita. - AGENSI.