Khamis, 25 November 2021 | 11:31am
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

Tidak disuntik vaksin COVID-19, tiada pesta di Cyprus

NICOSA: Cyprus semalam memberi amaran individu tidak divaksin akan dihalang menghadiri acara sosial dan hiburan, antara langkah baharu bagi membendung kes COVID-19.

Menteri Kesihatan, Michalis Hadjipantelas, berkata individu belum menerima vaksin COVID-19 akan dilarang menghadiri acara sukan, restoran, pawagam dan kelab malam selepas 15 Disember ini.

Katanya, semua acara Krismas di sekolah dilarang manakala pemakaian pelitup muka di khalayak ramai akan diwajibkan bagi kanak-kanak dari usia enam tahun berbanding 12 tahun sebelum ini.

Sementara itu, setiap orang berumur 14 tahun ke atas perlu membawa bukti digital vaksinasi bagi akses ke premis tertentu.

Mereka yang tidak menerima suntikan penggalak tujuh bulan selepas dos terakhir juga tidak akan dapat menggunakan 'pas selamat' untuk akses perhimpunan dan kawasan awam.

Kata Hadjipantelas, penularan coronavirus direkodkan di seluruh dunia dengan peningkatan kes harian, kemasukan ke hospital dan kematian, turut diperhatikan secara serius di Cyprus.

"Menurut data Kesatuan Eropah (EU), semakin tinggi kadar vaksinasi sesebuah negara, semakin rendah kadar kematian dan Cyprus kini menduduki tempat keempat bagi kadar kematian terendah di EU.

"Ini dicapai selepas kita menghalang kesesakan di hospital awam selain tidak membenarkan untuk sampai ke tahap memutuskan siapa yang akan hidup dan mati," katanya.

Kerajaan berharap untuk meningkatkan kadar vaksinasi kerana angka jangkitan melonjak dua kali ganda dan kemasukan ke hospital juga meningkat dengan kira-kira 60 peratus pesakit COVID-19 di hospital tidak divaksin.

Menurut Hadjipantelas lagi, suntikan penggalak sedang diberikan kepada penduduk dewasa dan setakat ini, 84,690 orang sudah menerima suntikan penggalak manakala 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksinasi.

"Vaksinasi satu-satunya senjata untuk kembali normal, hanya dengan tanggungjawab dan kerjasama, kita akan dapat mengatasi ancaman virus ini serta dapat menyelamatkan Krismas, tanpa mengambil langkah tambahan," katanya.

Cyprus melancarkan kempen suntikan penggalak September lalu, yang berjalan serentak dengan program vaksinasi penduduk berusia 12 tahun ke atas.

Pulau itu berdepan gelombang kelima jangkitan COVID-19 selepas kes melonjak pada 1,152 pada pertengahan Julai. Pihak berkuasa mengumumkan 437 lagi kes baharu, Selasa lalu.

Cyprus secara rasmi melaporkan lebih 131,000 jangkitan COVID-19 dan 590 kes kematian sejak permulaan pandemik, dengan kadar kes kumulatif 14 hari sehingga 8 November lalu ialah 284.7 bagi setiap 100,000 orang. - AFP

Berita Harian X