Khamis, 25 November 2021 | 11:29am
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

Vaksin kurangkan 40 peratus risiko penularan COVID-19: WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menjelaskan vaksin COVID-19 mengurangkan kira-kira 40 peratus penularan varian Delta dominan.

Bagaimanapun, Ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran kepada orang ramai yang divaksin supaya jangan terpedaya sehingga merasakan mereka selamat sepenuhnya daripada ancaman coronavirus.

Justeru, beliau menggesa individu divaksinasi supaya terus mengambil langkah untuk mengelak daripada dijangkiti COVID-19 dan menyebarkan virus itu.

Katanya, lebih 60 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan dan kematian akibat COVID-19 minggu lalu berlaku di Eropah.

Jumlah kes yang banyak itu diterjemahkan kepada tekanan tidak mampan terhadap sistem kesihatan dan pekerja kesihatan yang keletihan.

"Kami bimbang mengenai rasa riak bahawa vaksin menamatkan pandemik dan orang divaksinasi tidak perlu mengambil sebarang langkah berjaga-jaga lain. Vaksin boleh menyelamatkan nyawa tetapi tidak menghalang penularan sepenuhnya.

"Data mencadangkan sebelum ketibaan varian Delta, vaksin mengurangkan penularan kira-kira 60 peratus manakala selepas Delta ia susut kepada kira-kira 40 peratus," katanya.

Varian Delta yang lebih mudah menular kini sangat dominan di seluruh dunia sehingga jauh melebihi semua varian lain disatukan atau varian asal.

Menurut laporan epidemiologi mingguan WHO, 99.8 peratus daripada 845,000 jujukan dimuat naik di bawah inisiatif sains global GISAID dengan spesimen dikumpul dalam 60 hari terakhir, adalah varian Delta.

"Jika anda divaksin, anda mempunyai risiko penyakit teruk dan kematian yang jauh lebih rendah tetapi masih berisiko dijangkiti serta menjangkiti orang lain.

"Kami tidak boleh mengatakan ini dengan lebih jelas lagi, walaupun anda divaksin, teruskan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak daripada dijangkiti dan menjangkiti orang lain," katanya. - AFP

Berita Harian X