Rabu, 24 November 2021 | 6:32am
 Joachim Sauer. - Foto AFP
Joachim Sauer. - Foto AFP

Suami Merkel gelar orang Jerman tidak divaksinasi pemalas

FRANKFURT: Suami Canselor Angela Merkel mendakwa warga Jerman yang tidak divaksinasi sebagai pemalas ketika gesaan semakin kuat untuk negara itu mempertimbangkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai mandatori dalam usaha mengekang peningkatan jangkitan mendadak.

Kadar vaksinasi rendah di negara itu yang ketika ini hanya merekodkan 68 peratus penduduk lengkap vaksin berbanding negara lain di Eropah dikatakan antara punca lonjakan semula kes COVID-19.

"Sungguh menghairankan apabila satu pertiga daripada populasi tidak mengikuti hasil dapatan saintifik," kata suami Merkel, Joachim Sauer, dalam temu bual dengan akhbar Itali La Repubblica yang kemudiannya dipetik akhbar harian Jerman, Die Welt.

"Sebahagiannya disebabkan oleh kemalasan dan rasa puas hati orang Jerman," kata Sauer, yang jarang mengeluarkan pandangan kepada umum.

Seperti isterinya, Sauer adalah seorang ahli kimia kuantum, dan berada di Itali untuk lawatan akademik.

Kenyataan Sauer itu dibuat sehari selepas Merkel memberi amaran Jerman tidak melakukan tindakan secukupnya untuk mengekang gelombang keempat pandemik.

Canselor yang yang akan digantikan oleh Menteri Kewangan Olaf Scholz bulan depan, berulang kali menggesa rakyat Jerman untuk mendapatkan vaksin.

Minggu lalu, Jerman mengumumkan sekatan COVID-19 lebih ketat termasuk mewajibkan orang ramai membuktikan mereka divaksin, sembuh atau baru diuji negatif untuk virus itu sebelum dibenarkan melakukan perjalanan dengan pengangkutan awam atau ke tempat kerja.

Jerman merekodkan kadar jangkitan mingguan 399.8 kes bagi 100,000 penduduknya pada Selasa. - AFP

Berita Harian X