Selasa, 23 November 2021 | 6:34am
Anggota polis memeriksa pas COVID-19 pelanggan bar di Saint-Malo, barat laut Perancis. - Foto AFP
Anggota polis memeriksa pas COVID-19 pelanggan bar di Saint-Malo, barat laut Perancis. - Foto AFP

Badan penasihat COVID-19 gesa dos penggalak untuk semua

PARIS: Dua badan yang ditubuhkan untuk menasihati kerajaan Perancis mengenai pengendalian krisis COVID-19 mengesyorkan suntikan dos penggalak diberikan kepada semua peringkat umur dewasa.

Ketika ini, negara itu hanya menawarkan suntikan penggalak kepada individu berumur lebih 65 tahun atau mereka dalam keadaan kronik yang menyebabkan terdedah kepada virus serta petugas kesihatan.

Mulai 1 Disember, suntikan itu akan diperluaskan kepada individu berusia lebih 50 tahun.

Dalam kenyataan pada Isnin, Majlis Orientasi Strategi Vaksin (COSV) diketuai ahli imunologi Alain Fischer mengesyorkan suntikan tambahan untuk semua bagi memulihkan keberkesanan vaksin ke tahap membolehkan epidemik dikawal.

Saranan itu mendapat sokongan Majlis Saintifik COVID-19 diketuai pakar penyakit berjangkit Jean-Francois Delfraissy, dalam kenyataan berasingan.

Cadangan itu dibuat ketika beberapa negara Eropah dan kepulauan Caribbean Perancis cuba untuk meleraikan tunjuk perasaan berhubung sekatan dilaksanakan bertujuan membendung peningkatan jangkitan baharu.

Minggu lalu Presiden Emmanuel Macron dilaporkan berkata beliau tidak akan terkejut jika Perancis, seperti mana negara Eropah lain sedang memerangi gelombang baharu jangkitan, akhirnya menawarkan dos penggalak kepada penerima dewasa,

"Secara logiknya itulah langkah seterusnya," katanya.

Menteri Kesihatan Olivier Veran dalam Twitternya minggu lalu berkata kerajaan tidak lama lagi akan mempertimbangkan pemberian dos penggalak kepada individu berusia lebih 40 tahun.

Ketika Austria dan Belanda mengenakan semula separa sekatan dan Belgium mengetatkan peraturan vaksin, Perancis bersiap sedia untuk mengenakan sekatan baharu.

Awal bulan ini, Macron mengumumkan mulai pertengahan Disember individu berusia lebih 65 tahun perlu mendapatkan suntikan penggalak jika mahu terus menggunakan pas vaksin untuk masuk ke bar, restoran, pawagam dan tempat awam lain.

Perancis melaksanakan rejim vaksinasi paling ketat di Eropah, dengan pas diperlukan untuk menaiki kereta api antara bandar, melawat muzium dan pergi ke gimnasium.

Pas yang bertujuan membantu Perancis mengelak gelombang baharu bagaimanapun tidak menghalang jangkitan harian meningkat kepada hampir 20,000 pada Ahad, peningkatan hampir empat kali ganda dalam tempoh sebulan. - AFP

Berita Harian X