Isnin, 22 November 2021 | 10:18pm
Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn. - Foto AFP
Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn. - Foto AFP

'Dapatkan suntikan, rawatan atau mati' - menteri Jerman

BERLIN: Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn, memberi amaran bahawa majoriti rakyat Jerman perlu disuntik vaksin, dirawat hingga sembuh atau akan mati akibat COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan ini.

Amaran itu disuarakan beliau selepas lebih ramai rakyat Jerman digesa untuk mengambil suntikan selepas kempen inokulasi kurang mendapat sambutan.

"Kemungkinan menjelang penghujung musim sejuk ini, mungkin agak sinis kenyataan saya, hampir semua orang di Jerman akan diberi vaksin, disembuhkan atau mati.

"Itulah sebabnya kita mengesyorkan vaksinasi dengan segera," katanya yang turut menyalahkan varian Delta turut menyumbang kepada masalah itu kerana sangat pantas menular.

Amaran keras itu disampaikan ketika Jerman berjuang untuk membendung peningkatan rekod jangkitan COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kemasukan tinggi pesakit di unit rawatan rapi (ICU) hospital.

"Kami menghadapi keadaan yang sangat amat sukar di kebanyakan hospital," kata Spahn.

Walaupun akses meluas kepada vaksin COVID-19 diberi secara percuma, hanya 68 peratus daripada penduduk Jerman sudah divaksin sepenuhnya, yang menurut pakar, masih terlalu rendah untuk mengawal wabak itu.

Menurut Agensi Kesihatan Institut Robert Koch, Jerman iaitu negara paling ramai penduduk di Kesatuan Eropah (EU), merekodkan 30,643 lagi kes pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat lebih 5.3 juta kes.

Hampir 100,000 orang maut sehingga kini termasuk 62 mangsa baharu dalam tempoh 24 jam.

Jerman minggu lalu mengumumkan sekatan COVID-19 yang lebih ketat untuk membendung gelombang pandemik keempat yang ganas.

Di kawasan yang mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang tinggi, mereka yang tidak divaksinasi akan disekat akses tempat awam seperti pawagam, gimnasium dan tempat makan tertutup.

Pekerja diminta untuk kembali bekerja dari rumah manakala sesiapa yang perlu pergi ke tempat kerja wajib membuktikan mereka sudah divaksin, pulih atau negatif ujian saringan iaitu sistem yang dikenali sebagai '3G'.

Peraturan yang sama terpakai pada pengangkutan awam di kawasan mencatatkan kes tinggi coronavirus.

Beberapa wilayah Jerman yang paling teruk terjejas, termasuk Bavaria dan Saxony, melaksanakan tindakan lebih ketat termasuk membatalkan acara besar seperti jualan Krismas dan menghalang individu tidak divaksinasi daripada tempat awam.

Penduduk dewasa yang diberi vaksin juga digesa untuk mendapatkan suntikan penggalak bagi meningkatkan keberkesanan vaksin yang semakin berkurangan selepas enam bulan. - AFP

Berita Harian X