Isnin, 22 November 2021 | 8:47am
David Perry. - Foto AGENSI
David Perry. - Foto AGENSI

Mangsa letupan Liverpool sifatkan 'keajaiban' masih hidup

LONDON: Pemandu teksi yang terselamat dalam pengeboman yang gagal di dalam teksinya di bandar Liverpool di utara England pada hujung minggu lalu semalam berkata, ia adalah 'keajaiban' bahawa dia masih hidup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui polis tempatan, David Perry menggelar serangan itu - yang membabitkan bom mentah buatan sendiri yang mengandungi bebola besi - sebagai 'tindakan jahat'.

Peranti buatan Emad Al Swealmeen yang dilahirkan di Iraq meletup di belakang teksi Perry di luar hospital, beberapa saat sebelum acara menghormati perang tentera yang terkorban pada Remembrance Sunday.

Swealmeen, 32, terbunuh dalam letupan itu, manakala pemandu teksi terselamat dengan hanya mengalami cedera ringan.

Polis, yang segera mengisytiharkan letupan itu sebagai insiden pengganas, masih merungkai apa yang berlaku dan motif di sebalik serangan itu, tetapi laporan menyatakan Perry pantas mengunci pengebom di dalam kenderaan.

"Saya rasa seperti satu keajaiban saya masih hidup dan sangat bersyukur kerana tiada orang lain yang cedera dalam perbuatan jahat itu," katanya dalam kenyataan ringkas itu, yang tidak memperincikan kejadian itu.

"Saya kini memerlukan masa untuk cuba menerima apa yang berlaku dan memberi tumpuan kepada pemulihan saya secara mental dan fizikal."

Swealmeen merancang serangan untuk sekurang-kurangnya tujuh bulan, kata polis antikeganasan di barat laut England Rabu lalu, menggunakan 'banyak nama samaran' untuk membeli bahan untuk bom itu.

Pegawai yang mengetuai siasatan Jumaat lalu berkata, bom buatan sendiri itu akan menyebabkan 'kecederaan atau kematian yang teruk' jika ia meletup dengan betul.

Ia adalah serangan kedua di Britain dalam tempoh sebulan, selepas seorang ahli Parlimen Britain ditikam hingga mati ketika bertemu pengundi di tenggara England pada Oktober.

Kedua-dua serangan itu mendorong kerajaan untuk meningkatkan tahap ancaman keganasan daripada 'besar' kepada 'teruk' - kedua tertinggi - bermakna serangan adalah 'kemungkinan besar'. - AFP

Berita Harian X