Sabtu, 20 November 2021 | 8:01pm
Penunjuk perasaan berarak membantah mandat vaksin COVID-19 di Thessaloniki, Greece. - Foto AFP
Penunjuk perasaan berarak membantah mandat vaksin COVID-19 di Thessaloniki, Greece. - Foto AFP

PM Greece cadang 'kurung' semua rakyat EU belum vaksin

ATHENS: Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, mencadangkan semua rakyat Eropah yang belum menerima atau enggan divaksin COVID-19 perlu 'dikurung' bagi mengekang lonjakan kes jangkitan.

Perkara itu dibangkitkan selepas Greece menjadi antara negara Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan lebih banyak sekatan terhadap rakyat yang belum atau enggan divaksin susulan lonjakan jangkitan coronavirus dalam tempoh beberapa minggu.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, berkata individu yang belum divaksin dihalang memasuki kawasan tertutup termasuk restoran, pawagam, muzium dan gimnasium walaupun mereka disahkan negatif COVID-19.

Bagaimanapun, kehadiran ke gereja dibenarkan dengan syarat mengemukakan bukti ujian calitan COVID-19 adalah negatif.

Greece sudah melaksanakan suntikan vaksinasi sebanyak 62 peratus daripada 11 juta penduduk negara itu.

Mitsotakis berkata, pihak berkuasa berharap peratusan itu dapat mencecah 70 peratus sebelum Eropah memasuki musim sejuk hujung tahun ini.

"Ini adalah pandemik kerana masih ramai belum divaksin, Greece terpaksa menanggung kerugian tidak sepatutnya kerana tidak mencapai peratusan vaksinasi seperti negara Eropah lain," katanya.

Berdasarkan peraturan baharu di Greece, sijil vaksinasi bagi individu berusia lebih 60 tahun hanya sah dalam tempoh tujuh bulan selepas dikeluarkan.

Ia bertujuan menggalakkan mereka menerima suntikan dos ketiga atau dos penggalak.

Sementara itu, pemimpin parti pembangkang utama Greece, Parti Syriza, ALexis Tsipras, mendakwa Mitsotakis perlu 'bertanggungjawab' terhadap 'tragedi belum pernah berlaku sebelum ini' yang menyaksikan kematian COVID-19 melebihi 17,000 orang.

Khamis lalu, Greece merekodkan 7,317 kes baharu dengan 63 kes kematian, sekali gus mencatatkan jumlah jangkitan kes keseluruhan sebanyak 861,117 jangkitan dan 17,075 kematian.

Awal bulan lalu, kerajaan melaksanakan beberapa sekatan terhadap rakyat yang belum divaksin, namun membenarkan mereka mengakses kebanyakan perkhidmatan dengan syarat membawa keputusan ujian calitan COVID-19 yang disahkan negatif.

Austria, Jerman, Slovakia dan Republik Czech sudah mengehadkan kegiatan harian terhadap rakyat yang belum divaksin minggu ini, susulan penularan jangkitan virus semakin meningkat di seluruh Eropah. - AGENSI

Berita Harian X