Sabtu, 20 November 2021 | 3:18pm

ICC tangguh siasatan kes 'perang dadah' Filipina

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menggantung sementara siasatan ke atas kes pencabulan hak yang didakwa berlaku dalam 'perang dadah' bawah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Tindakan itu diambil susulan permohonan penangguhan yang diterima daripada Manila.

Pada September lalu, ICC membenarkan siasatan dilakukan berhubung kempen membanteras dadah itu yang didakwa mengakibatkan beribu-ribu orang terkorban.

Ia dikatakan menyerupai serangan haram dan sistematik ke atas orang awam.

Duterte memenangi pilihan raya pada 2016 selepas berjanji dalam kempen untuk menghapuskan masalah dadah di Filipina.

Beliau dilaporkan secara terbuka mengarahkan polis untuk membunuh suspek kes dadah sekiranya nyawa anggota pasukan itu terancam.

Sekurang-kurang 6,181 orang dilaporkan terkorban dalam lebih 200,000 operasi memerangi dadah yang dijalankan sejak Julai 2016, menurut data rasmi terkini dikeluarkan Filipina.

Bagaimanapun dalam dokumen mahkamah, pendakwa raya ICC menganggarkan angka itu mencecah antara 12,000 hingga 30,000 kematian.

Duta Filipina, Eduardo Malaya telah mengemukakan permohonan penangguhan itu, menurut dokumen mahkamah.

Dalam surat permohonannya itu, beliau berkata, Kerajaan Filipina sedang menyiasat dakwaan berlaku jenayah kemanusiaan ketika perang dadah berkenaan.

Sementara itu pendakwa raya ICC, Karim Khan, dalam satu notifikasi mahkamah bertarikh 18 November lalu pula memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menggantung aktiviti siasatan sementara ia menilai skop dan kesan permohonan penangguhan berkenaan.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan meminta maklumat tambahan daripada Filipina.

Duterte menarik Manila keluar daripada ICC pada 2019 selepas siasatan awal dilancarkan.

Bagaimanapun, ICC berkata, ia mempunyai bidang kuasa terhadap kes jenayah yang didakwa dilakukan ketika Filipina masih menjadi ahli.

Selepas dilaporkan enggan mengaku ICC memiliki bidang kuasa untuk campur tangan dan tidak mahu memberikan kerjasama, Duterte bagaimanapun akhirnya menyatakan beliau akan membuat persediaan untuk membela diri.

Meskipun mengemukakan permohonan penangguhan itu kepada ICC, Manila kekal dengan pendirian bahawa mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa terbabit.

"Kami mengulangi pendirian Kerajaan Filipina bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa terbabit," kata jurucakap Duterte, Karlo Nograles, dalam satu kenyataan, hari ini. - AFP

Berita Harian X