Rabu, 29 September 2021 | 8:20am
Ketua polisi luar EU, Josep Borrell. - Foto AFP
Ketua polisi luar EU, Josep Borrell. - Foto AFP

EU tekankan hak kemanusiaan dalam perbincangan dengan China

BRUSSEL: Kesatuan Eropah (EU) semalam menekankan mengenai hak kemanusiaan sebagai 'perkara utama' dalam hubungannya dengan China, selain turut membincangkan mengenai Taiwan serta kerjasama tiga hala antara negara kuasa besar, AUKUS.

Ketua polisi luar EU, Josep Borrell dan Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan sidang video pada Dialog Strategik EU-China, sebuah forum bagi menyuarakan permasalahan serta membincangkan kerjasama.

Kesimpulan dari perbincangan pejabat Borell adalah memfokuskan mengenai hak kemanusiaan serta tindakan yang dikaitkan China terhadap Hong Kong dan Xinjiang.

Ia juga menyebut mengenai kerjasama AUKUS antara Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain serta hasrat EU untuk mengembangkan kerjasama dengan Taiwan, yang dianggap Beijing sebagai sebahagian dari wilayahnya.

Bagaimanapun, memetik agensi berita Xinhua, ringkasan perbincangan China adalah antara lain menyebut mengenai AUKUS sahaja, tidak menyatakan mengenai perbincangan mengenai hak kemanusian atau Taiwan.

Wang menyatakan amaran kepada Borrell bahawa pakatan AUKUS - yang mengakibatkan Australia menghentikan pembelian kapal selam dari Perancis selepas mendapatkan kapal selam berkuasa nuklear dari AS bagi melakukan rondaan di wilayah Indo-Pasifik - adalah sebagai 'bahaya yang tersembunyi'.

Beliau menyatakan, ia berpotensi untuk 'kebangkitan Perang Dingin, 'perlumbaan senjata' dan 'ketegangan kuasa nuklear'.

"Kami menggesa tiga negara itu mengikut trend semasa dan memainkan peranan konstruktif untuk mencapai keamanan dan kestabilan," kata Wang, menurut Xinhua.

Borrell pula berharap forum hak asasi dua hala yang akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan akan datang 'penting untuk mengetengahkan mengenai perselisihan antara EU dan China'.

"Dalam konteks ini, kami juga membincangkan mengenai situasi di Xinjiang dan Hong Kong," katanya. - AFP

Berita Harian X