Jumaat, 23 Julai 2021 | 7:23pm
Aktivis perubahan iklim mengadakan protes di luar Parlimen di London, mendesak Britain bertindak proaktif pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim di Glasgow November ini. - Foto EPA
Aktivis perubahan iklim mengadakan protes di luar Parlimen di London, mendesak Britain bertindak proaktif pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim di Glasgow November ini. - Foto EPA

Perubahan iklim tingkatkan bencana alam

PARIS: Saintis memberi amaran kesan perubahan iklim kini semakin buruk dengan pelbagai bencana alam lebih kerap berlaku, membawa malapetaka jauh lebih serius berbanding sebelumnya.

Abad ke-21 sudah menyaksikan banyak bencana alam berlaku dan kesan pemanasan global turut menyumbang kepada taufan lebih hebat, hujan lebat luar biasa serta kepanasan melampau, yang tidak boleh diabaikan lagi.

Justeru, kepanasan melampau di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada serta ribut taufan luar biasa mengakibatkan banjir besar di tengah China dijangka antara agenda utama mesyuarat Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) minggu depan.

Pada akhir Jun, sebahagian AS dan Kanada terperangkap dalam fenomena 'heat dome' atau 'kubah panas', di mana panas terik ketika udara panas yang terperangkap di bawah tekanan tinggi bertambah panas ketika ditolak ke bawah.

Negara itu memecahkan rekod suhu tingginya beberapa kali dan mencapai suhu tertinggi 49.6 darjah Celsius di kampung Lytton pada 30 Jun lalu.

Washington dan Oregon di AS juga terjejas dengan angka korban belum diketahui, namun jumlahnya dianggarkan mencecah ratusan orang.

Kajian sekumpulan saintis iklim terkemuka mendapati keadaan cuaca itu mungkin berpunca dari perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.

Kumpulan Badan Bertindak Cuaca Dunia berkata pemanasan global, yang disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau, menyebabkan sekurang-kurangnya lebih 150 kali tiupan gelombang panas pada Jun.

Pada pertengahan Julai, Eropah barat dilanda banjir besar selepas hujan lebat melanda seluruh perkampungan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 209 orang mati di Jerman dan Belgium selain puluhan lagi hilang.

Banjir juga menyebabkan kerosakan di Luxembourg, Belanda dan Switzerland, manakala China turut menerima nasib sama kelmarin dengan kenderaan dihanyutkan air di pusat bandar Zhengzhou selain turut meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa.

Jumlah purata hujan, yang sepatutnya diterima dalam setahun, turun sepenuhnya dalam tempoh tiga hari di bandar berkenaan, menyebabkan air berlumpur memenuhi longkang sebelum melimpah ke jalanan, terowong dan laluan kereta api bawah tanah.

AS pula kini berdepan kemarau membimbangkan dengan kebakaran hutan baru bermula di barat AS di mana ribuan anggota bomba kini sudah pun bertungkus lumus memadamkan 80 kebakaran besar.

Awal minggu lalu, kebakaran sudah menjejaskan lebih 4,700 kilometer persegi kawasan tanaman.

Kebakaran paling besar adalah 'Bootleg Fire' di Oregon, di mana dalam tempoh dua minggu, ia memusnahkan kawasan seluas kota Los Angeles.

Di California AS, beberapa desa diselamatkan selepas berdepan 'Dixie Fire' yang semakin merebak, dikatakan berpunca daripada sebatang pokok yang jatuh atas kabel elektrik. - AFP

Berita Harian X