Khamis, 22 Julai 2021 | 10:19pm
Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014 di timur Ukraine mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapal pesawat terbunuh. - Foto fail AFP
Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014 di timur Ukraine mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapal pesawat terbunuh. - Foto fail AFP

MH17: Russia kemuka aduan terhadap Ukraine di mahkamah

MOSCOW: Russia mengemukakan aduan ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, dengan menyalahkan Ukraine atas kemalangan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH17 dan kematian orang awam pada 2014.

Pejabat Ketua Pendakwa raya dalam satu kenyataan memaklumkan, Russia menghantar aduan itu kepada mahkamah yang berpangkalan di Strasbourg berhubung 'aduan antara negara terhadap Ukraine mengikut Fasal 33 Konvensyen Perlindungan Hak Asasi Manusia dan Kebebasan Asasi'.

Pendakwa raya Russia mengemukakan beberapa tuduhan membabitkan pelanggaran perlakuan Ukraine, dan menyalahkan Kiev menyebabkan kematian orang awam ketika pemberontakan 2014 dan konflik negara itu dengan puak pemisah yang disokong oleh Russia di timur negara itu yang meragut lebih dari 13,000 nyawa.

Moscow juga mendakwa anggota bersenjata Ukraine melepaskan tembakan yang membunuh dan mencederakan orang di selatan Russia.

"Angkatan bersenjata Ukraine melakukan serangan yang menimbulkan ancaman nyata terhadap kehidupan dan kesihatan warga Russia yang tinggal di sempadan negara dan memaksa ribuan warga Ukraine untuk berlindung di Russia," kata kenyataan itu.

Dalam aduan itu, Moscow turut menyalahkan Ukraine atas kematian 298 orang di dalam pesawat MH17, pesawat Boeing 777 yang melalui ruang udara negara itu melalui tembakan peluru berpandu, dengan mengatakan Kiev telah menolak untuk menutup ruang udara ketika peperangan di timur Ukraine.

Siasatan antarabangsa menyimpulkan bahawa peluru berpandu BUK yang menembak jatuh pesawat itu berasal dari brigade peluru berpandu antipesawat ke-53 tentera Russia yang berpusat di bandar Kursk.

Pendakwa raya Russia menuduh Kiev melakukan diskriminasi terhadap wakil dan syarikat Russia serta memotong bekalan air ke Crimea, seperti yang dikemukakan Moscow pada tahun 2014.

Hubungan antara Ukraine dan Russia berakhir selepas pemberontakan pro-Barat Kiev menggulingkan rejim yang disokong Kremlin pada 2014.

Kiev dan sekutu Baratnya menuduh Moscow menghantar tentera dan senjata melintasi sempadan untuk menyokong kumpulan pemisah Ukraine.

Selepas gencatan senjata pada separuh kedua tahun 2020, ketegangan meningkat semula tahun ini, terutama selepas Moscow mengerahkan sekitar 100,000 tentera ke sempadan Ukraine pada musim bunga lalu. - AFP

Berita Harian X