Sabtu, 19 Jun 2021 | 1:15pm
Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron memakai pelitup muka ketika sidang media di Berlin. - Foto AFP
Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron memakai pelitup muka ketika sidang media di Berlin. - Foto AFP

EURO: Merkel, Macron nasihat waspada COVID-19

BERLIN: Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa tindakan berhati-hati diambil ketika peminat memenuhi stadium pada Kejohanan Euro 2020 di saat wabak masih menimbulkan risiko tinggi.

Merkel berkata, pihak terbabit tidak boleh bertindak seolah-olah wabak sudah berakhir walaupun kadar jangkitan menurun di kebanyakan negara di Eropah.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditanya mengenai rancangan menjelang pertandingan itu akan datang.

"Anda boleh lihat contoh di Lisbon seberapa cepat keadaan boleh berubah," katanya merujuk kepada lonjakan kes COVID-19 di ibu negara Portugal baru-baru ini.

Beliau berkata, individu yang diberi vaksin sepenuhnya masih lagi dikira minoriti di sebahagian besar negara di Eropah.

Katanya disebabkan itu, semua pihak masih perlu berhati-hati," khususnya apabila membabitkan acara besar.

"Di Munich misalnya ada 14,000 penyokong (untuk pertandingan Jerman-Perancis pada Selasa) di bawah peraturan yang ketat.

"Tetapi apabila saya melihat stadium yang penuh sesak di negara Eropah yang lain, saya agak ragu-ragu adakah itu tindakan yang betul dalam situasi sekarang."

Peminat Hungary dan Portugis membanjiri stadium Puskas Arena di Budapest Selasa lalu, satu-satunya stadium bagi Kejohanan Euro 2020 yang tidak mengehadkan kapasiti penonton sebagai langkah berjaga-jaga wabak COVID-19.

Macron, tetamu asing pertama Merkel sejak sekatan akibat wabak, berkata bahawa beliau yakin bahawa penganjur kejohanan mengambil langkah waspada.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson Jumaat lalu berkata keutamaannya adalah memastikan negara aman daripada wabak, dan sumber mengesahkan kepada AFP bahawa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berkira-kira memindahkan separuh akhir dan final Euro 2020 dari stadium Wembley ke Budapest.

Macron berkata, semua pihak harus berhati-hati untuk keselamatan pasukan dan peminat, terutamanya dengan timbulnya varian Delta yang sangat menular di Britain. - AFP

Berita Harian X