Sabtu, 22 Mei 2021 | 9:02pm
Datuk Bandar Amsterdam, Femke Halsema (kiri) bersama anggota polis melihat jambangan bunga diletakkan di lokasi serangan. - Foto AFP
Datuk Bandar Amsterdam, Femke Halsema (kiri) bersama anggota polis melihat jambangan bunga diletakkan di lokasi serangan. - Foto AFP

Seorang maut, 4 cedera dalam tragedi tikaman

AMSTERDAM: Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam satu serangan tikaman di sini, seorang suspek lelaki berusia 29 tahun ditahan di lokasi kejadian.

Polis Belanda berkata, kejadian lewat malam tadi di kawasan restoran dan bar berhampiran ibu kota itu tiada kaitan dengan kegiatan pengganas.

"Polis kini sedang melakukan siasatan penuh berhubung kejadian itu dan punca ia berlaku.

"Siasatan akan diketuai bahagian Perkhidmatan Pendakwaan Awam, yang kini sedang menyiasat pelbagai punca tetapi setakat ini, kes itu tidak menunjukkan motif keganasan," kata polis dalam satu kenyataan.

RTL Nieuws melaporkan, amaran terhadap ancaman keganasan tidak berubah disebabkan kejadian itu.

Difahamkan, polis mendapat panggilan mengenai satu kes tikaman, namun apabila tiba di lokasi, terdapat empat individu yang ditikam dalam kalangan lima mangsa yang terbabit.

"Seorang daripada mereka maut di tempat kejadian manakala empat lagi dikejarkan ke hospital," katanya.

Pihak rawatan kecemasan juga difahamkan bergegas ke lokasi, dengan dua helikopter kesihatan mendarat di taman berdekatan muzium Van Gogh dan Rijksmuseum.

Restoran berhampiran pula tutup ketika kejadian berlaku berikutan sekatan COVID-19. - AFP

Berita Harian X