Jumaat, 14 Mei 2021 | 9:44pm

Jerman selar protes anti Yahudi, sokong Israel

BERLIN: Jerman mengecam serangan roket dilancarkan Hamas ke Israel dan memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan protes demonstrasi anti Yahudi di negara itu ketika konflik memuncak di Asia Barat.

Amaran itu disampaikan Canselor Jerman, Angela Merkel, melalui jurucakapnya, Steffen Seibert, melalui sidang media kerajaan.

"Ia adalah serangan yang hanya mempunyai satu matlamat iaitu membunuh orang dengan sewenang-wenangnya selain bagi menimbulkan ketakutan.

"Kerajaan Merkel menekankan berhubung hak Israel untuk pertahanan diri daripada serangan ini," katanya.

Palestin melakukan serangan balas dengan melancarkan lebih 1,800 roket sejak Isnin selepas Israel membedil Gaza dengan menyasarkan Hamas dan kumpulan Islam lain melalui ratusan serangan udara.

Serangan selepas solat Jumaat minggu lalu di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis itu adalah antara kemuncak yang mengakibatkan konflik kali ini dalam tempoh tujuh tahun ketegangan antara dua pihak terbabit.

Pada masa sama, Seibert berkata Jerman tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana demonstrasi 'anti-Yahudi'.

"Sesiapa yang menyerang rumah ibadat atau mencemarkan simbol Yahudi bukan bermakna suatu kritikan terhadap dasar kerajaan, sebaliknya adalah pencerobohan dan kebencian terhadap agama serta penganutnya," katanya.

Jerman menyaksikan beberapa protes sejak minggu lalu menyusuli konflik Israel-Palestin dengan penunjuk perasaan melaungkan slogan anti Yahudi dan membakar bendera Israel di luar rumah ibadat Yahudi di Muenster dan Bonn.

Rabu lalu, kira-kira 180 orang melaungkan slogan anti Yahudi ketika berarak di Gelsenkirchen, juga di barat.

Semalam, kira-kira 1,500 orang berhimpun di bandar di utara, Bremen, melaungkan 'kebebasan untuk Palestine' dalam protes secara aman.

Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier, semalam turut mengecam protes berkenaan.

"Mereka yang membakar bendera 'Star of David' di jalan dan melaungkan slogan 'anti-Yahudi', tidak hanya menyalahgunakan kebebasan berdemonstrasi tetapi melakukan jenayah.

"Tidak ada yang membenarkan ancaman terhadap Yahudi di Jerman atau serangan di rumah ibadat atau di bandar Jerman," katanya kepada akhbar Bild. - AFP

Berita Harian X