Selasa, 11 Mei 2021 | 11:13am
 Foto NSTP/hiasan
Foto NSTP/hiasan

AstraZeneca kurangkan 80 peratus risiko kematian

LONDON: Data daripada pemberian vaksin AstraZeneca untuk dos pertama menunjukkan risiko kematian akibat COVID-19 dapat dikurangkan sehingga 80 peratus, kata Agensi Kesihatan Awam England (PHE).

Analisis terbaru juga menunjukkan perlindungan terhadap kematian daripada vaksin Pfizer-BioNTech meningkat daripada kira-kira 80 peratus selepas satu dos kepada 97 peratus selepas lengkap dua dos.

PHE berkata, kajian itu adalah yang pertama berhubung perlindungan terhadap kematian daripada vaksin AstraZeneca berdasarkan data sebenar.

Kajian itu meneliti kes simptomatik baharu COVID-19 antara bulan Disember dan April dan individu yang meninggal dunia dalam tempoh 28 hari daripada ujian positif mereka oleh status vaksinasi.

Individu yang menerima satu dos vaksin AstraZeneca dilindungi 55 peratus daripada kematian, dengan angka perlindungan 44 peratus untuk satu dos Pfizer, dibandingkan dengan orang yang tidak divaksinasi.

"Ini adalah bersamaan dengan perlindungan kira-kira 80 peratus terhadap kematian ke atas individu yang divaksinasi dengan satu dos oleh salah satu vaksin," kata PHE dalam satu kenyataan.

"Perlindungan terhadap kematian oleh vaksin Pfizer-BioNTech meningkat kepada 69 peratus bagi kes yang dilengkapi dos kedua sekurang-kurangnya seminggu sebelum mereka positif.

"Dicampur dengan anggaran perlindungan daripada mula-mula dijangkiti COVID-19 sebagai permulaan, ini bersamaan dengan perlindungan 97 peratus," kata PHE.

Dalam kumpulan data lain, PHE berkata, dianggarkan dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital sebanyak 93 peratus untuk individu berusia lebih 80-an. - AGENSI

Berita Harian X